Monday, November 14, 2011

RM220 juta ganti kuarters FELDA uzur


1,700 unit rumah kakitangan siap dalam 20 bulanSERDANG: FELDA akan membina lebih 1,700 unit rumah untuk kakitangannya di seluruh negara, termasuk banglo membabitkan peruntukan RM220 juta bagi memberi keselesaan kepada mereka berikutan kebanyakan kediaman itu sudah uzur. Banglo terbabit berkeluasan antara 1,500 hingga 1,700 kaki persegi, manakala semi D yang berharga antara RM160,000 hingga RM270,00 seunit.
Sebanyak 33 projek perumahan berkenaan membabitkan peruntukan RM60 juta akan dimulakan tahun ini manakala 80 projek bernilai RM160 juta pula mulai tahun depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata semua projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 20 bulan selepas ia dimulakan. Beliau berkata, projek perumahan itu untuk menjaga kebajikan kakitangan FELDA bagi memastikan mereka dapat menikmati kemudahan lebih sempurna kerana kebanyakan rumah sedia ada sudah terlalu uzur berbanding di negeri lain. “Untuk projek awal ini, tanah rancangan di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan paling banyak terpilih kerana rumah kakitangan sedia ada terlalu uzur dan hak milik tanah sudah diperoleh FELDA. “Bagi satu projek, sekurang-kurangnya 15 unit rumah akan dibina. Fasa pertama projek itu sudah dimulakan dengan tender dikeluarkan sejak bulan lalu,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Semai Bakti kepada 22 kakitangannya di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad dan Pengurus Besar FELDA, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab. Pingat Semai Bakti dianugerahkan kepada pegawai kumpulan FELDA sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berkhidmat dengan cemerlang. Sementara itu, Isa ketika diminta mengulas mengenai bantahan peneroka dengan penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) berkata, isu itu tidak timbul kerana semua sudah diberi penjelasan. 

No comments:

Post a Comment