Thursday, November 17, 2011

Selamatkan penduduk Kg. Permata

Selamatkan penduduk Kg. Permata

AHMAD Maslan (empat dari kiri ) melihat kertas cadangan benteng pemecah ombak bersama Zainol Abidin Che Lah ketika melawat Kampung Permata, Pontian, baru-baru ini.


PONTIAN 14 Nov. – Sebanyak 28 keluarga yang tinggal di pesisiran pantai Kampung Permata di sini, lega apabila benteng sepanjang 1.5 kilometer bernilai kira-kira RM7 juta akan dibina di kawasan itu.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah bagi membina benteng penahan hakisan di kampung tersebut.
“Kita sedar dengan kebimbangan penduduk yang terancam dengan ancaman hakisan pantai dan berusaha membantu menyelesaikan masalah.
“Namun ia bergantung kepada kertas cadangan yang akan dimajukan bagi membolehkan peruntukan yang dipohon diluluskan oleh Kerajaan Pusat,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di kampung berkenaan di sini, baru-baru ini.
Turut hadir jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah, Zainol Abidin Che Lah.
Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Kampung Permata, Abdul Aziz Sulaiman berkata, jika dahulu kedudukan rumah di persisiran pantai itu agak jauh dari laut, namun keadaannya kini sudah berubah.
“Kebanyakan rumah penduduk hanya tinggal beberapa meter dari laut dan masalah ini menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan.
“Jika masalah hakisan pantai ini tidak dibendung tidak mustahil perkampungan ini boleh lenyap dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment