Thursday, November 17, 2011

Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah & 1Malaysia 26 November Ini

KUALA LUMPUR 17 Nov – Orang ramai dijemput untuk menyertai Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia pada 26 November ini dalam usaha meningkatkan lagi pemahaman mengenai konsep tersebut.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata seminar berkenaan yang pertama kali dianjurkan UMNO Malaysia itu akan mengupas secara mendalam dan panjang lebar konsep tersebut yang mana hari ini mungkin terdapat sedikit kekeliruan berhubung makna sebenar Wasatiyyah.
Menurut beliau  maksud Wasatiyyah menjadi perbualan umum yang mana ada pendapat menyebut maksudnya kesederhanaan, dan ada pula yang melihatnya sebagai keseimbangan selain pertengahan.
“Jadi seminar berkenaan akan mengupas maksud Wasatiyyah secara lebih menyeluruh khususnya dari sudut saranan Islam selain Gagasan 1Malaysia yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Selain itu, antara aspek yang akan dibincangkan ialah bagaimana konsep wasatiyyah digunapakai di dalam pelaksanaan pentadbiran agama dan bagaimana organisasi boleh memanfaatkan amalan kesederhanaan dan berimbang berdasarkan pendekatan wasatiyyah.
“Lebih seribu jemputan telah dihantar dan sehingga hari ini, lebih 600 peserta telah mengesahkan kehadiran mereka, terdiri daripada naib-naib canselor universiti, ilmuan, pemikir, pelaksana agama, kepimpinan GLC, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), karyawan, budayawan, kepimpinan biro agama dan penerangan UMNO peringkat negeri dan bahagian,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Seminar kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah & 1Malaysia, di sini, hari ini.
Ahmad Maslan seterusnya menambah seminar yang akan dirasmikan Datuk Seri Najib itu  akan turut disertai oleh tokoh-tokoh akademik serta cendekiawan lain.
“Antaranya ialah Dr Chandra Muzaffar, Presiden The International Movement for a Just World (JUST) dan Dato’ Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, tokoh pemikir tamadun Islam dan mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
“Sesi-sesi seminar itu pula akan dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr  Haji Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Yusri Dato’ Mohamad, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA),“ katanya.
Seminar setengah hari ini bermula jam 8.00 pagi dan akan diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Mereka yang berminat hadir boleh menghubungi Sekretariat Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia di Ibu Pejabat UMNO dengan menelefon talian 03-4043 6433 atau faks 03-4045 6433.

No comments:

Post a Comment