Monday, November 21, 2011

SMA An-Nur Akademik Terbaik 2011

SMA An-Nur Akademik Terbaik 2011

AHMAD Maslan (lima dari kanan) dan Mohd. Puad Zarkashi (lima dari kiri ) bersama guru besar SK yang menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian di Pontian, kelmarin.


PONTIAN 20 Nov. - Sekolah Menengah Agama (SMA) An-Nur Benut dekat sini menerima anugerah kategori akademik dan kokurikulum terbaik keseluruhan sempena program Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian 2011, semalam.
Program yang memasuki edisi kedua itu anjuran Pejabat Ahli Parlimen Pontian dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pontian bagi mengiktiraf sumbangan pihak sekolah memajukan pendidikan di sekolah masing-masing.
Pengetua Sekolah SMA An-Nur, Abd. Samad Abd. Latiff menerima hadiah wang tunai RM4,000 disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.
Tempat kedua dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Betak yang menerima wang tunai RM2,000 dan SMK Benut di tempat ketiga dengan menerima RM1,000.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon dan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, Ab. Rahim Rahim.
Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) kawasan DUN Benut, SK Seri Bugis dinobatkan di tempat pertama, tempat kedua dan ketiga dimenangi SK Seri Sekawan Desa dan SK Seri Anom dengan masing-masing menerima wang tunai RM2,500, RM1,500 dan RM1,000.
SK Pulai Sebatang pula meraih tempat pertama bagi kawasan DUN Pulai Sebatang, kedua SK Parit Patah dan ketiga SK TMIS (1) yang turut menerima wang tunai dan cenderamata.
Kategori Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) pula dimenangi SJKC Chien Hwa dengan wang tunai RM4,000, kedua SJKC Lok Yu 1 (RM3,000) dan ketiga SJKC Gau San (RM1,000).
Program anugerah itu turut memberi pengiktirafan kepada Sekolah Agama berdasarkan kepada keputusan cemerlang yang dicapai dalam Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) yang diraih oleh Sekolah Agama Seri Pulai, Sekolah Agama Permatang Duku dan Sekolah Agama Seri Senang Hati.
Bagi kecemerlangan dalam Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) pula dimenangi Sekolah Agama Lebai Mohd. Yaakob 2, Sekolah Agama Al-Mustafa dan Sekolah Agama Kayu Ara Pasong di tempat kedua dan ketiga.
Kategori 'Perfect Score' pada Penilaian Menengah Rendah 2010 pula diraih oleh SMK Benut, kedua SMK Ayer Baloi dan ketiga SMK Sri Perhentian yang turut menerima wang tunai dan sijil.

No comments:

Post a Comment