Tuesday, November 1, 2011

Transformasi demi manfaat rakyat


Musa Aman (kiri) menerima buku yang disampaikan oleh Ketua Peneranagn UMNO, Datuk Ahmad Maslan pada majlis Penerangan Perdana peringkat negeri di Dewan Kuliah Pusat Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu, kemarin.


KOTA KINABALU 31 Okt. – Kerajaan negeri akan terus melakukan transformasi terhadap pelbagai dasar bagi memastikan ia terus relevan dengan kehendak dan tuntutan semasa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, langkah itu penting bagi memastikan nasib rakyat terus terbela di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN)
“Misalnya pengenalan Geran Komunal yang memberi hak tanah secara berkelompok atas tujuan pembangunan tanah telah dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera,
“Apa yang pasti di bawah Geran Komunal ini adalah hak bersama dan tidak boleh dijual secara sewenang-wenangnya,” kata beliau.
Musa berkata demikian pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri Sabah di Dewan Kuliah Pusat Universiti Malaysia Sabah di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria.
Menurut Musa, sebagai negeri yang dikenali dengan kepelbagaian etnik, budaya dan keindahan semulajadi, Sabah tidak dapat lari daripada pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha mengatasi setiap masalah dengan mengambil kira kepentingan masyarakat keseluruhan.
Katanya, ini dapat dilihat apabila kerajaan mengambil pendekatan terbaik untuk menangani isu pencerobohan hutan simpan secara berhemah dengan membenarkan penduduk yang telah lama menetap terus tinggal di situ.
Tambah beliau, berhubung dengan isu alam sekitar, pula kerajaan telah membatalkan pembinaan loji tenaga arang batu di Lahad Datu setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
“Dalam memastikan rintihan serta masalah rakyat dapat ditangani secara baik, kita turut memperbanyakkan amalan turun padang bagi mendengar denyut nadi rakyat.
“Kerajaan juga sentiasa berusaha memenuhi permintaan rakyat, namun pada masa sama rakyat perlu menyedari bahawa semua permintaan tidak dapat dipenuhi sekelip mata kerana ia berdasarkan keutamaan dan kemampuan kewangan kerajaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment