Wednesday, December 28, 2011

43 penuntut UTM tabur bakti di Mukim Api-Api




SEBAHAGIAN penuntut yang menyertai bengkel kesihatan bersama penduduk Kampung Kawasan (2) Mukim Api-Api di Pontian, Johor, semalam.


PONTIAN 26 Dis. - Seramai 43 mahasiswa jurusan pembangunan sumber manusia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai menyertai bengkel kesihatan bersama penduduk kampung Kawasan (2) Mukim Api-Api, di sini kelmarin.
Dengan tema 'Jangan biar hidup dibelenggu penyakit', kumpulan penuntut tersebut menjalankan pelbagai aktiviti termasuk memberi pemeriksaan kesihatan percuma, bergotong-royong dan sukaneka bersama penduduk.
Pengarah Projek, Nurul Hadzimah Harun berkata, selain berkongsi pengetahuan, para penuntut tahun akhir itu diharap menggunakan peluang itu untuk mempelajari dan mendekatkan diri dengan masyarakat.
Menurutnya, kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah Pontian memberi peluang kepada penduduk untuk membuat pemeriksaan kesihatan terutamanya bagi menyesan penyakit kronik seperti lemah jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.
"Sebagai bakal graduan yang akan mengisi sektor pekerjaan dalam pelbagai bidang, mereka telah didedahkan dengan pelbagai progam serta aktiviti bersama masyarakat bagi membantu meningkatkan keyakinan diri masing-masing," katanya pada majlis penutupan program yang disempurnakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan.
Bagi Rina Wai, 23, bengkel kesihatan ini memberi peluang kepada penuntut mendampingi penduduk setempat yang mempunyai pelbagai latar belakang pekerjaan seperti pekebun, petani, peniaga kecil, usahawan dan penjawat awam.
"Walaupun program hanya setengah hari, namun ia berjaya merapatkan lagi hubungan UTM dengan masyarakat luar sekali gus mendedahkan peserta dengan kehidupan di luar kampus," katanya.
Seorang penuntut luar negara, Mohamad Said Said, 22, pula berazam untuk mencurahkan segala pengetahuan yang ditimba di UTM dan Malaysia untuk berbakti kepada rakyat dan negara asalnya di Somalia yang serba kekurangan.
"Perkhidmatan kesihatan di negara ini amat baik dengan kehadiran pegawai perubatan untuk membantu penduduk kampung dan perkara serupa perlu dilakukan di negara asal saya supaya rakyat juga mempunyai tahap kesihatan lebih baik," katanya.

No comments:

Post a Comment