Monday, December 26, 2011

Bonus: Peneroka Felda disaran labur ke dalam saham KPF

MELAKA 24 Dis. – Para peneroka Felda yang bakal menerima bonus insentif produktiviti antara RM400 dan RM1,200 seorang pada akhir bulan ini disaran melabur sebahagian wang tersebut ke dalam saham Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, golongan itu juga perlu memastikan wang tersebut dibelanjakan dengan bijak khususnya untuk perbelanjaan sekolah anak-anak.
“Saya harap mereka gunakanlah wang bonus itu untuk dua tujuan, pertama bagi perbelanjaan sekolah anak-anak dan kedua menambah saham KPF kerana dividennya tinggi iaitu sebanyak 14 peratus.
“Inilah yang kita cuba beritahu peneroka supaya mereka tahu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia sebenarnya adalah ‘durian runtuh’ kepada peneroka yang merupakan pemegang saham utama dalam KPF,” katanya kepada pemberita di Dewan Warisan UMNO, Jalan Hang Tuah di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengumumkan Felda akan membayar bonus tersebut kepada para peneroka di tanah rancangan seluruh negara berjumlah RM102,584,000 pada akhir bulan ini.
Menurut Perdana Menteri, kadar bayaran bonus itu sama seperti tahun lalu bergantung kepada penghantaran hasil melibatkan seramai 95,949 atau 85.19 peratus daripada 112,635 peneroka sebagai menghargai sumbangan mereka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui Felda.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, isu syarikat Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) dan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo bukanlah cabaran besar yang akan dihadapi UMNO terutama untuk menjawab tohmahan pakatan pembangkang.
Menurut beliau, dua isu itu adalah isu sampingan kerana banyak lagi kebaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu dan mengutamakan rakyat dalam segala hal.
“Pembangkang juga mempunyai masalah, pemimpin mereka begitu begini dan berbalah sesama sendiri antara Pas, PKR dan DAP,” katanya.

No comments:

Post a Comment