Monday, December 26, 2011

Pengendali teksi berkupon perlu mohon lesen SPAD

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Bermula tahun depan, semua pengendali kaunter kupon teksi dikehendaki memohon lesen terminal daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) sebagai usaha mengawal masalah pemandu teksi yang tidak menggunakan meter.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ketika ini terdapat beberapa terminal teksi di kawasan tumpuan pelancong seperti di Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang telah menggunakan sistem kupon tersebut.
"Bagi penambahbaikan, bermula tahun depan para pengendali kupon dikehendaki memohon lesen terminal daripada SPAD," katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Chin Su Phin yang ingin mengetahui tindakan terbaru kementerian dalam menangani masalah pemandu teksi yang tidak menggunakan meter di tempat pelancongan khususnya di KLCC di ibu negara.
Dalam pada itu, Ahmad menegaskan, SPAD akan sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha teksi yang gagal memantau perlakuan pemandu mereka.
"Statistik menunjukkan sepanjang tempoh Januari hingga November lalu, sebanyak 1,502 kes dicatatkan untuk pelbagai kesalahan teksi termasuk tidak menggunakan meter di kawasan Lembah Klang dengan 11 tangkapan dilakukan di KLCC.
"SPAD akan sentiasa memantau dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dari semasa ke semasa dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain," katanya.

No comments:

Post a Comment