Monday, December 26, 2011

Penyenaraian FGVH ‘durian runtuh’ buat peneroka

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia adalah ‘durian runtuh’ kepada peneroka yang merupakan pemegang saham utama dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, melalui model perniagaan baru KPF, ahlinya yang terdiri daripada peneroka, generasinya serta kakitangan Felda akan menjadi pelabur utama kepada FGVH.
“Melalui penstrukturan ini, keuntungan yang akan diperoleh bakal dinikmati dalam bentuk dividen yang menguntungkan ahli KPF seramai 224,000 orang.
“Malah, sebahagian keuntungan FGVH melalui lonjakan nilai pelaburan KPF juga akan diagihkan kepada peneroka menerusi ganjaran khas,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Yunus Kurus yang meminta jaminan kerajaan kepada peneroka di sebalik langkah penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.
Menurut Maslan, penyenaraian tersebut akan menjadikan syarikat tersebut sebagai blue chips perladangan terbesar di dunia berasaskan pertanian bersepadu.
“Ia akan membantu pertumbuhan ekonomi negara dengan penglibatan pelabur tempatan dan antarabangsa di sektor berkaitan seterusnya mewujudkan persaingan sihat antara pelaku industri itu,” ujarnya.
Maslan juga menjelaskan, penyenaraian tersebut tidak akan menjejaskan hak peneroka dan kakitangan Felda kerana ia hanya melibatkan tanah milik Felda yang dipajakkan kepada FGVH.
“Ini bermaksud, tanah kebun dan tapak peneroka tidak akan terlibat dan akan kekal menjadi milik peneroka," ujarnya.

No comments:

Post a Comment