Monday, December 26, 2011

Pontian juara Piala Tunku Mahkota Johor 2011

PONTIAN 13 Dis. - Setelah lapan tahun tanpa persatuan akibat pembatalan pendaftarannya, kejayaan muncul juara Piala Tunku Mahkota Johor 2011 mencatat sejarah baru bagi sukan bola sepak daerah Pontian.

Lebih manis kejayaan itu yang pertama bagi pasukan bola sepak daerah Pontian muncul juara liga pertandingan bola sepak yang diadakan di negeri ini.
Menurut Pengurus Pasukan Bola Sepak Daerah Pontian, Sumali Reduan, pada pertandingan akhir yang diadakan di Stadium Mini Renggam kelmarin, pasukannya berjaya menewaskan Segamat dengan jaringan 2-1.
Beliau berkata, kejayaan itu melengkapkan kemenangan tujuh perlawanan berturut-turut sekali gus menobatkan pasukannya sebagai johan dan layak bertanding merebut Piala Sultan pada Januari depan.
"Kejayaan ini hasil kerjasama dan komitmen semua pihak yang ingin melihat Pontian kembali mewarnai persada bola sepak Johor seperti tahun 70-an dan 80-an.
"Kami membentuk jawatankuasa kejurulatihan yang dianggotai oleh bekas pemain negeri dan daerah bagi membimbing pasukan Pontian pada kali ini. Nyata pendekatan ini membuahkan hasil yang baik walaupun pemilihan pemain hanya dilakukan dalam tempoh kira-kira dua bulan sebelum kejohanan dijalankan," katanya di sini hari ini.
Sumali memberitahu, turut menyaksikan perlawanan akhir di Renggam kelmarin ialah Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Pontian (PBSP) yang baru, Muji Salimon yang juga Pegawai Daerah Pontian.
"Pengurusan pasukan dan pemain amat menghargai sokongan dan perhatian yang diberikan oleh pentadbiran daerah serta Penaung PBSP, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya.
Bagi menghadapi Piala Sultan pada 12 hingga 15 Januari depan di Muar, pihaknya akan terus mengadakan latihan selepas ini bagi memastikan kecergasan para pemain.

No comments:

Post a Comment