Monday, December 26, 2011

Program Juara Rakyat Terus Diperkasakan Tahun Hadapan

MELAKA, 24 Dis – Pelaksanaan program Juara Rakyat akan terus diperkasakan mulai Januari depan dengan melibatkan seluruh rakyat di negara ini, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata Majlis Penerangan Perdana atau juga dikenali Ceramah Juara Rakyat yang menjadi antara pengisian program tersebut, akan diteruskan bukan hanya di peringkat negeri malah di peringkat parlimen.
“Ia bukan program syok sendiri kerana perlu melibatkan rakyat secara keseluruhan dan dilaksana mengikut tema yang telah diputuskan seperti keluarga, perpaduan, kebajikan, pendidikan, sukan, belia dan kerjaya,” katanya selepas pertemuan dengan Anggota Jawatankuasa Penerangan Barisan Nasional (BN) Melaka di sini, hari ini.
Ahmad berkata antara kumpulan sasar program tersebut ialah anggota UMNO dan BN, belia, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta.
Katanya sebanyak 2,400 aktiviti telah dilaksanakan di bawah program tersebut pada tahun lepas berbanding 2,100 akvitivi pada tahun ini.
Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata kerajaan telah melakukan pelbagai transformasi besar termasuk dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan luar bandar bagi membela nasib rakyat.
Beliau berkata melalui pelbagai tranformasi tersebut, kerajaan berjaya meletakkan Malaysia di tangga keempat sebagai negara aman di rantau Asia selepas New Zealand, Jepun dan Australia selain berada pada kedudukan ke-19 daripada 154 negara di seluruh dunia.
Katanya berdasarkan rumusan pada tahun ini, banyak kejayaan besar yang dicapai oleh parti seperti memenangi pilihan raya kecil dan negeri Sarawak yang menjadi pembakar semangat kepada jentera parti untuk terus berjuang membela nasib rakyat.
Sehubungan itu, beliau berkata beberapa isu yang melibatkan pemimpin UMNO adalah cabaran kecil dalam usaha membawa pelbagai tranformasi dalam kehidupan rakyat.

No comments:

Post a Comment