Wednesday, December 7, 2011

TPM Lancar buku pelan maritim


TPM lancar buku pelan maritim

MUHYIDDIN Yassin diiringi Mohd. Amdan Kurdish (tengah) dan Ahmad Maslan melihat replika kapal 20m Sar Craft sempena LIMA 2011 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi, semalam.


LANGKAWI 6 Dis. — Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan buku Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 (PPSMM 2040) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini.
PPSMM 2040 merupakan pelan induk yang bakal memacu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke arah kecemerlangan. Ia merupakan dokumen asas yang menentukan hala tuju bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang dalam mendukung misi yang ditetapkan kerajaan.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurdish berkata, pelan itu merupakan hasil semakan semula Pelan Perancangan Strategik 2020 yang diterbitkan pada 2006.
Katanya, PPSMM 2040 yang dirangka ini menggunakan pendekatan Kad Skor Seimbang (BSC).
"Sembilan objektif strategik telah dikenal pasti bagi memastikan misi dan visi dapat direalisasikan demi menjadikan APMM sebuah organisasi yang sentiasa ke hadapan bukan sahaja dalam negara bahkan di persada antarabangsa," katanya.
Katanya, dalam senario geopolitik dan situasi keselamatan maritim semasa yang dinamik, APMM memerlukan pendekatan yang anjal, iaitu mengubah satu pelan strategik bersesuaian dalam melakar hala tuju pembangunan keupayaan dan aset secara holistik.
"APMM sebagai agensi tunggal penguatkuasaan maritim perlu menjalankan pemantauan di perairan negara. Tugasan ini berbeza dengan agensi yang serupa dari negara-negara lain, APMM bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang tetapi juga bertanggungjawab melakukan pendakwaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang maritim," katanya.
Mohd. Amdan berkata, prestasi APMM menunjukkan peningkatan yang positif dan membanggakan sejak penubuhannya pada 2005.
"Pencapaian ini memperlihatkan kesungguhan dan strategi berkesan yang digunakan oleh APMM yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek operasi dalam negara semata-mata, bahkan mencakupi peranan yang aktif dalam pelbagai platform kerjasama serantau dan antarabangsa," katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan. 

No comments:

Post a Comment