Monday, December 26, 2011

Usahawan Melayu disaran pelbagai kaedah pasaran



AHMAD Maslan (tiga dari kiri) menunjukkan bungkusan minuman kopi Mahkota Dewa kepada pemenang anugerah pada Majlis Malam Gala Gemilang AJGM di Persada Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 25 Dis. - Usahawan Melayu di negara ini disarankan mempelbagaikan kaedah pemasaran dan menjenamakan semula produk mereka bagi mendepani persaingan sengit dalam pasaran.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, golongan itu juga disarankan menggunakan formula 'fikir besar tetapi mula kecil' bagi memulakan sesuatu perniagaan termasuk perniagaan jualan langsung (MLM).
Beliau berkata, formula berkenaan memerlukan usahawan untuk membuat perancangan dengan melangkaui pemikiran, namun memulakannya mengikut kemampuan.
"Ia sedikit sebanyak akan memberikan kita satu pandangan yang berbeza daripada orang lain dan ia seolah-olah memberi kita motivasi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Malah, ia juga membantu kita menghasilkan produk yang berlainan, sekali gus mengelakkan persaingan namun masih mampu merancakkan arena keusahawanan di negara ini," katanya selepas merasmikan Majlis Makan Malam Al-Jannah Global Marketing (AJGM) di sini, malam kelmarin.
Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif AJGM, Datuk Zulkefli Md. Isa dan lebih 1,000 ahli AJGM.
AJGM yang terkenal dengan produk minuman kopi jenama Mahkota Dewa kini mempunyai 30,000 ahli dengan 6,000 adalah bukan Melayu.
Dalam pada itu, Zulkefli berkata, pihaknya akan membuka cawangan di Batam, Indonesia bermula Januari tahun depan.
Malah, pihaknya juga menyasarkan jualan sehingga sejuta kotak kopi Mahkota Dewa di tiga negara iaitu China, Taiwan dan Indonesia.
"Kita juga bercadang mempelbagaikan produk AJGM dengan menghasilkan produk pencuci muka dan herba serapat bagi wanita pada tahun depan," katanya.

No comments:

Post a Comment