Sunday, January 15, 2012

1,200 wakil peneroka akan diberi penerangan

PUTRAJAYA 12 Jan. - Lebih 1,200 wakil peneroka Felda akan diberikan taklimat lengkap mengenai cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) bulan depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, wakil peneroka Felda yang terbabit adalah di kalangan pengurus rancangan, ketua peneroka, ketua penerokawati dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM).
Katanya, mereka adalah kumpulan peneroka Felda yang paling besar mempengaruhi pemikiran warga Felda secara keseluruhannya.
"Sebelum ini, kita sudah panggil tetapi disebabkan maklumat tidak lengkap jadi masih ada persoalan yang tidak terjawab.
"Tetapi sekarang maklumat hampir lengkap dan saya rasa sebelum hujung bulan ini, kita akan dapat semuanya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan empat badan bukan kerajaan (NGO) Felda di sini hari ini.
Empat NGO Felda itu adalah Alumni Asrama Felda, Gabungan Pemikiran Profesional Felda (Gaprof), MBFM dan Ikatan Seni dan Kebudayaan Anak-anak Felda.
Penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia yang dijangka dilakukan pada April atau Mei ini itu mendapat perhatian pelbagai pihak, khususnya warga Felda yang dikatakan tidak memahami cadangan itu.
Ia dikatakan membabitkan soal hak milik tanah peneroka, dividen Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan bimbang jika pelbagai kemudahan yang dinikmati masa kini akan terhapus berikutan pelaksanaan cadangan itu.
Dalam masa yang sama, Ahmad memberitahu, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan NGO yang berkaitan dengan Felda bagi memberi penerangan secara jelas berhubung cadangan itu.
"Saya sudah mengadakan perjumpaan dengan beberapa NGO yang berkaitan dengan Felda dan setakat ini, saya lihat mereka memahami cadangan itu.
"Saya berharap mereka akan turun ke akar umbi untuk menerangkan secara jelas kepada ahli atau warga Felda lain," katanya.

No comments:

Post a Comment