Sunday, January 1, 2012

19 keluarga mangsa banjir terima sumbangan

PONTIAN 29 Dis. - Seramai 19 buah keluarga yang terlibat dengan banjir di Kampung Tampok Laut, Benut, di sini minggu lalu menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan baru-baru ini.

Keseluruhan mereka melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan bagi meringankan beban kewangan mereka selepas ditimpa musibah.
Seorang mangsa banjir, Zairah Abd. Fatah dari Kampung Tampok Lapis berkata, banjir yang berlaku telah menyebabkan dia sekeluarga terpaksa berpindah sementara ke Surau Tampok Laut.
"Ketika di pusat pemindahan pelbagai bantuan telah diterima oleh mangsa seperti makanan, pakaian, wang tunai serta bantuan lain yang diterima dari masa ke semasa oleh mereka," katanya ketika ditemui.
Bagi Abdul Aziz Mohd Nor, 42, sumbangan yang diterima dapat membantunya seisi keluarga lebih-lebih lagi selepas rumahnya yang terletak di Kampung Tampok Laut Lapis terlibat dengan banjir.
Beliau yang mempunyai enam orang berkata tidak menduga rumahnya akan dinaiki air memandangkan kawasan kampungnya sudah empat tahun tidak terlibat dengan kejadian banjir selepas kali terakhir dilanda bencana tersebut pada tahun 2007.
"Saya bersyukur, banjir yang berlaku pada kali ini tidak seteruk dahulu dan berharap jabatan berkenaan dapat mengambil langkah pencegahan supaya kejadian sama tidak berulang lagi. Bagaimanapun, fenomena air pasang besar mungkin menyebabkan banjir kali kedua dan ini merisaukan penduduk," katanya lagi.
Kesemua sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dalam majlis yang diadakan di pekarangan Surau Tampok Laut bersempena dengan majlis perasmian jambatan baru Tampok Laut yang berharga RM500,000.

No comments:

Post a Comment