Tuesday, January 10, 2012

Apa Sumbangan Anwar Kepada Rakyat Yang Boleh Gugat Kemenangan BN??

SEREMBAN, 10 Jan – Keputusan mahkamah yang membebaskan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tidak akan menjejaskan kekuatan Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata sama ada Anwar dipenjara atau dibebaskan, ia langsung tidak menggugat kedudukan BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti kerana ini bergantung kepada perkara lain yang telah dikenal pasti.
“Ada empat perkara yang menentukan kemenangan BN iaitu pertama rekod pimpinan kerajaan di peringkat negeri dan pusat, dan kedua, dasar-dasar semasa yang diperkenalkan kerajaan seperti gagasan 1Malaysia dan Program Tranformasi Kerajaan.
“Selain itu nasib BN juga ditentukan oleh pengharapan masa hadapan oleh rakyat, seperti rancangan pembangunan yang ingin dibawa kerajaan, dan faktor keempat iaitu kerja-kerja yang dibuat oleh pimpinan BN di semua peringkat,” katanya selepas menghadiri majlis penerangan BN Negeri Sembilan di sini hari ini.
Ahmad berkata Anwar sebagai seorang yang tidak menyumbang apa-apa kepada rakyat, “tidak perlu lagi diperkatakan”, sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada langkah menjelaskan kepada rakyat mengenai bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan.
Katanya ada pelbagai bantuan yang disalurkan kepada rakyat yang akan dibukukan dan diedarkan supaya rakyat dapat mengetahuinya.
“Anwar Ibrahim bukan bagi bantuan apa pun, tapi kita bagi pelbagai bantuan seperti bantuan RM100 untuk anak bersekolah, bantuan RM500 untuk rakyat berpendapatan bawah RM3,000, subsidi petrol, diesel, gas dan bahan makanan… ini yang mahu kita ceritakan, lupakanlah Anwar Ibrahim dan hal-halnya itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment