Monday, January 23, 2012

Bidang pendidikan akan terus diberi keutamaan



AHMAD Maslan (kanan) memegang buku Perancangan Strategik sempena perasmian bangunan tambahan PPD Pontian di Pontian, kelmarin.


PONTIAN 20 Jan. - Bidang pendidikan akan terus diberi keutamaan oleh kerajaan bagi melahirkan modal insan berkualiti untuk memastikan daya saing negara dalam pelbagai bidang pada masa depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pendidikan dilihat mampu mengubah nasib seseorang, walaupun mereka datang daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan.
"Dengan adanya pendidikan, sesebuah keluarga dapat keluar dari kepompong kemiskinan. Anak-anak mereka akan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama rakan yang lain.
"Pendidikan adalah satu proses kesamarataan kepada seseorang walaupun datang daripada keluarga penoreh getah, nelayan, petani, buruh mahupun kakitangan rendah awam," katanya semasa merasmikan bangunan tambahan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pontian dan melancarkan Perancangan Strategik 2012-2015 PPD Pontian di sini, semalam.
Turut hadir Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon; Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran negeri, Abdul Aziz Redwan dan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, Ab. Rahim Lamin.
Bangunan tambahan yang menelan kos kira-kira RM4.5 juta itu mula digunakan tahun lalu bagi menempatkan 72 pegawai dan kakitangan PPD Pontian.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, walaupun pembinaan bangunan baharu itu melibatkan kos yang besar, ia tidak menghalang kerajaan untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat agar mereka dapat menikmati kemudahan yang selesa.
"Saya berharap guru-guru dapat terus melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin bagi memajukan anak-anak dalam bidang pelajaran," katanya.

No comments:

Post a Comment