Wednesday, January 11, 2012

Biro penerangan BN dibekal risalah maklumat kebaikan kerajaan

SEREMBAN 10 Jan. - Biro penerangan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan dibekalkan dengan bahan-bahan dalam bentuk risalah yang mengandungi maklumat mengenai usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, risalah yang disediakan oleh Biro Publisiti dan Penerangan BN pusat itu mendedahkan angka dan fakta tindakan yang telah dibuat oleh kerajaan bagi membela rakyat.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, paparan menarik risalah itu akan memudahkan rakyat meneliti kebaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat.
"Fakta yang ada dalam risalah itu akan menangkis segala tohmahan dan fitnah yang dibuat pembangkang kepada kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Empat Peringkat (MEP) Penerangan BN peringkat negeri ini anjuran Biro Publisiti dan Penerangan BN di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerja BN, Datuk Abu Khamis.
Menurut Mohamad, lebih 95 peratus ahli biro penerangan dari semua parti komponen BN negeri ini hadir pada majlis itu sekali gus menunjukkan kesungguhan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.
Katanya, semua yang hadir diberikan motivasi dan tip untuk mendekati hati rakyat bagi memberi penerangan mengenai pelbagai isu dan usaha yang dibuat kerajaan selama ini.
Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, majlis itu adalah kali keempat selepas diadakan di Johor, Melaka dan Pahang.
Jelasnya, pihaknya berharap dapat menjelajah ke seluruh negara sebelum hujung bulan ini.
"Sebanyak empat prinsip utama ditekankan dalam majlis ini iaitu rekod pemerintahan kerajaan, dasar sekarang, pengharapan masa depan dan kerja-kerja yang telah dibuat oleh kerajaan," ujarnya.
Beliau berkata, semua itu penting dan biro penerangan setiap parti komponen BN perlu memberitahu orang ramai yang ditemui oleh mereka dalam setiap program yang diadakan.

No comments:

Post a Comment