Tuesday, January 10, 2012

Felda ke Bursa April atau Mei

Felda ke Bursa April atau Mei


AHMAD Maslan (dua dari kanan) bersama Mohd. Amdan Kurish (dua dari kiri) dan Hairul Ezuan Abu Bakar (kanan) melihat Kapal Matitim Marlin di Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 9 Jan. – Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang dijangka April atau Mei tahun ini akan dibuat atas nasihat lima bank pelaburan yang dilantik bagi menentukan nilai Tawaran Awal Pemulaannya (IPO).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tiga bank asing dan dua bank tempatan yang dilantik sebagai jururunding kini sedang melaksanakan kajian untuk menentukan masa sesuai bagi penyenaraiannya di papan utama Bursa Malaysia.
Beliau berkata, apabila kajian berkenaan selesai, ia akan dikemukakan kepada Lembaga Pengarah Felda untuk membuat keputusan berkaitan tarikh penyenaraian yang bersesuaian.
“Saya berharap penyenaraian ini berjalan lancar dan peneroka dinasihatkan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur luar yang menghalang penyenaraian tersebut kerana ia akan menguntungkan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Eyes and Ears at the Sea (Eyes) oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Persatuan Perkhidmatan Bunkering Johor (J-Bunker) di Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.
Turut hadir, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Amdan Kurish dan Presiden J-Bunker, Hairul Ezuan Abu Bakar.
Dalam perkembangan sama, Ahmad yakin krisis hutang semasa yang melanda Eropah dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) tidak akan menghalang FGVH daripada disenaraikan di Bursa Malaysia tahun ini.
“Pada masa ini, ramai peneroka tidak sedar tentang IPO dan ia adalah kewajipan pengurusan Felda untuk menerangkan kepada mereka.
“Penyenaraian ini juga tidak akan menjejaskan hak-hak peneroka Felda dan kakitangan secara keseluruhan kerana ia hanya melibatkan pajakan tanah milik Felda-FGVH,” katanya.
Beliau turut menasihatkan peneroka tidak mudah percaya dakwaan pihak tertentu yang menentang penyenaraian tersebut, sebaliknya 224,000 peneroka yang juga pemegang saham utama koperasi Permodalan Felda perlu melihat penyenaraian FGVH sebagai durian runtuh kepada mereka.

No comments:

Post a Comment