Thursday, January 19, 2012

Jangan mudah dipengaruhi pembangkang

Jangan mudah dipengaruhi pembangkang

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Mahasiswa diingatkan supaya tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang dan terjebak dalam demonstrasi yang hanya akan menyusahkan diri mereka sendiri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, mahasiswa sewajarnya mengutamakan pengajian dan menamatkannya dengan keputusan yang cemerlang.
"Saya nasihatkan mahasiswa supaya tidak menjadi hero dan terikut dengan gaya pembangkang yang suka berdemonstrasi sekiranya ada perkara yang tidak memuaskan hati. Ini kerana perbuatan itu hanya akan menyusahkan diri mereka pada akhirnya. Tiada apa yang akan dicapai oleh sekiranya mereka terlibat dalam perhimpunan haram itu.
"Saya lebih gembira sekiranya mahasiswa berkumpul untuk meraikan kejayaan mereka mengharumkan nama negara dengan pencapaian di peringkat antarabangsa seperti memenangi pertandingan ciptaan inovasi, debat dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Anugerah Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 dan Program Juara Rakyat Parlimen Cheras di sini hari ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Ahmad yang merupakan Ketua Penerangan UMNO menafikan bahawa beliau menganggap blogger yang menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sampah menerusi laman sosial Facebook.
Ahmad berkata, beliau tidak pernah sesekali menggelar orang lain sebagai sampah seumur hidupnya, lebih-lebih lagi membabitkan golongan yang membantu UMNO dan BN.
"Saya tidaklah sebodoh itu dan ini merupakan cubaan untuk mencemar usaha berterusan kami sebagai satu pasukan bagi menggagalkan rancangan pembangkang menawan Putrajaya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment