Tuesday, January 17, 2012

Negara 'hancur' jika jatuh ke tangan pembangkang

SHAH ALAM 15 Jan. - Malaysia boleh hancur jika jatuh ke tangan pembangkang kerana pemimpinnya sering mengutarakan kenyataan dan cadangan yang mengabaikan sensitiviti rakyat jika mereka memerintah.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, keadaan itu boleh berlaku jika merujuk kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikaikan undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual dan mahu ia disemak semula serta usul bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga agar perasuah kecil diampunkan.
Ahmad berkata, kedua-dua perkara itu boleh memusnahkan negara jika dilaksanakan.
"Apa yang dilakukan Anwar dan Ambiga memang tidak bertanggungjawab. Anwar lupakah Malaysia negara Islam dan 60 peratus rakyatnya beragama Islam? Jika Anwar mahu membuat kenyataan seperti itu buatlah untuk negara Barat, bukan negara ini.
"Ambiga pula mana boleh bezakan rasuah kecil dan besar kerana rasuah itu tetap rasuah tidak kira berapa nilainya. Pada saya kedua-dua kenyataan dan cadangan ini jika dilaksanakan akan membawa Malaysia ke arah kehancuran," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar dalam satu wawancara dengan BBC Asia pada Khamis lalu dan usul Ambiga semasa berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar, Kedah.
Dalam wawancaranya dengan BBC Asia, Anwar menyatakan agar sebahagian daripada undang-undang lapuk negara disemak semula ketika ditanya berkaitan golongan gay di negara ini, sementara Ambiga pula mengusulkan agar perasuah kecil diampunkan jika pakatan pembangkang memerintah.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN) ditemui selepas menghadiri Majlis Empat Peringkat Penerangan BN negeri di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus dan ketua-ketua penerangan parti komponen BN.
Dalam pada itu, Ahmad mahu jentera penerangan BN bekerja lebih keras bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Sekarang jentera penerangan perlu masuk 'gear' lima dalam melaksanakan kerja-kerja penerangan bagi memastikan kemenangan BN," katanya.

No comments:

Post a Comment