Monday, January 9, 2012

Pengampunan nelayan bukti hubungan baik

Pengampunan nelayan bukti hubungan baik

MELAKA 6 Jan. - Pembebasan enam nelayan dari Kampung Seri Dungun, Pontian, Johor yang dipenjara di Bengkalis, Indonesia sejak Mac tahun lalu atas pengampunan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono membuktikan hubungan Malaysia- Indonesia amat baik.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia merupakan petanda bahawa hubungan antara kedua-dua negara tidak pernah retak walaupun berlaku beberapa insiden yang dicetuskan oleh sekumpulan kecil rakyat negara itu.
"Belum pernah terjadi nelayan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu mendapat pengampunan daripada Presiden Susilo.
"Ini adalah kali pertama dalam sejarah ia berlaku jelas merupakan petanda hubungan baik antara Malaysia-Indonesia yang terjalin sekian lama kekal dan tidak tergugat.
"Bukan sahaja antara kerajaan dengan kerajaan, malah hubungan antara rakyat kedua-dua negara cukup baik. Cuma, beberapa kejadian yang berlaku tahun lalu dicetuskan oleh kelompok kecil rakyat negara itu," katanya.
Ahmad berkata demikian selepas menyambut kepulangan enam nelayan berkenaan di Jeti Penumpang Muara Sungai Melaka, Banda Hilir, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pembebasan enam nelayan itu adalah hasil usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membangkitkan perkara tersebut sewaktu membuat lawatan kerja ke Indonesia sebanyak dua kali.
Katanya, dalam pertemuan antara Najib dan Susilo di Bali baru-baru ini, perkara itu dibangkitkan lagi dan hasilnya pada 24 Disember lalu, Presiden Indonesia itu menandatangani surat setebal tujuh muka surat untuk memberi pengampunan kepada enam nelayan itu pada 4 Januari lalu.
"Saya mewakili nelayan dan ahli keluarga mereka mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan juga Presiden Indonesia kerana membebaskan mereka (nelayan) daripada terus menjalani hukuman penjara di Bengkalis," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan semua nelayan agar berhati-hati sewaktu menangkap ikan berhampiran perairan antarabangsa antara kedua-dua negara bagi mengelak kejadian sama berulang.

No comments:

Post a Comment