Thursday, January 5, 2012

Penyenaraian FVGH tidak akan gugat kebajikan peneroka


PUTRAJAYA 4 Jan. - Peneroka Felda dinasihatkan supaya tidak risau mengenai soal kebajikan mereka apabila proses penyenaraian Felda Ventures Global Holdings Bhd. (FVGH) dilaksanakan nanti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa semua faedah yang dinikmati sekarang akan turut diperolehi pada masa depan.
Katanya, antara jaminan itu ialah menjaga kebajikan keluarga peneroka setiap tahun, memastikan keupayaan Felda untuk beroperasi dan isu saham dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF).
"Segala kepentingan peneroka sebelum ini akan diteruskan dan tanah mereka serta tapak rumah tidak terlibat selain itu bonus tahunan, duit raya, bantuan melanjutkan pelajaran serta persekolahan dan kemahiran kepada generasi baru akan terus diberi.
"Mengenai isu adakah Felda mempunyai bajet mencukupi seperti dahulu? Jawapannya kita akan pastikan perkara itu cukup seperti dahulu iaitu tahun ini. Tentang dividen KPF pula, jawapannya juga sama iaitu cukup," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri pertemuan bersama Gabungan Peneroka Generasi Wawasan Felda Kebangsaan (Gempak) di pejabatnya di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Gempak, Samsudin Othman dan Timbalan Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail.
Pada pertemuan tertutup itu, kedua-dua pihak memberi maklum balas dan cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan sebelum penyenaraian FVGH di papan utama Bursa Malaysia, April ini.
Menurut Ahmad, isu itu sebelum ini menjadi rumit kerana maklumat sebenar gagal disampaikan namun, melalui beberapa perbincangan dengan peneroka dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, ia dapat diselesaikan.
"Masalah besar ialah komunikasi, mereka sebenarnya tidak membantah penyenaraian ini cuma mahu maklumat lengkap dan lanjut.
"Sebelum ini ia tidak dirundingi secara rasmi, hari ini pertama kali dibuat dan akan diteruskan perundingan rasmi dengan pihak berkenaan supaya kertas cadangan yang diserahkan pada saya dapat diberikan pada kumpulan yang menyediakan kertas penyenaraian ini sebelum diberikan pada Suruhanjaya Sekuriti (SC).
"Ini bermakna pihak-pihak berkepentingan dengan Felda boleh serahkan secepat mungkin cadangan-cadangan dan saya akan sampaikan secara rasmi dalam masa seminggu dua ini," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya dakwaan bahawa tanah Felda akan hilang apabila disenaraikan dalam FVGH, katanya, dakwaan itu tidak benar dan tepat.
"Tanah ini bukan hilang ia masih milik Felda cuma dipajakkan pada FVGH untuk penyenaraian, sebelum ini pada 2003 ia gagal dilaksanakan sebab kita tidak dapat formula pajakan sebab fikir ia akan hilang tetapi sekarang sudah dapat formula itu," katanya.

No comments:

Post a Comment