Wednesday, January 18, 2012

Prestasi BN bukan bergantung kepada Anwar

IPOH 17 Jan. - Kemenangan atau kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang bukan bergantung kepada keputusan sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara atau dibebaskan daripada tuduhan liwat yang dihadapinya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebaliknya, ia bergantung kepada kerja keras kepimpinan BN, rekod baik dalam membantu rakyat, dasar-dasar yang diwujudkan serta keyakinan masyarakat untuk masa depan mereka.
Tegas Ahmad, jika keempat-empat perkara tersebut berjaya dilaksanakan secara terbaik dan diyakini rakyat, medan politik Malaysia pasti dapat dikuasai pihak kerajaan.
''Yang nak memastikan kemenangan atau kekalahan BN bukan sama ada dia (Anwar Ibrahim) bebas atau tidak, keluar atau tidak, masuk atau tidak masuk. Ada perkara lain yang lebih penting daripada hanya isu Anwar.
''Meskipun ia perkara yang perlu diambil kira tetapi bukan segalanya. Biarlah isu tersebut berlalu umpama tiupan angin. Sekarang, tumpukan kepada kekuatan yang kita ada dan ia perlu diperjelaskan pada rakyat supaya mereka tidak terkeliru," katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Biro Publisiti dan Penerangan BN ditemui selepas menghadiri Majlis Empat Peringkat Penerangan BN negeri di Bangunan UMNO Perak, di sini, malam tadi.
Hadir sama Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Hamzah Zainuddin dan ketua-ketua penerangan parti komponen BN.
Dalam pada itu, Ahmad mahu jentera penerangan BN bekerja lebih agresif bermula bulan ini dalam menggerakkan jenteranya di peringkat akar umbi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Jelas beliau, momentum semua jentera penerangan parti perlu dipertingkatkan ke tahap paling maksimum terutama ketika tarikh pilihan raya semakin dekat.
''Kerancakan penerangan mulai Januari ini perlu gear lima. Tahun lepas, ada yang gear tiga, gear empat dan ada yang tak masuk gear pun. Sekarang, itu semua tidak boleh lagi berlaku.
''Rakyat menilai setiap kerja yang kita lakukan. Jika penerangan tidak menyeluruh, rakyat tidak jelas dengan apa yang kerajaan lakukan serta berikan kepada mereka. Kemudiannya kesempatan ini diambil oleh pihak lain," katanya.

No comments:

Post a Comment