Sunday, January 15, 2012

Ramai sokong penyenaraian FGVH - Ahmad Maslan

PUTRAJAYA 12 Jan. - Cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia semakin mendapat sokongan pelbagai pihak yang mula memahami isu itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, mereka termasuk badan bukan kerajaan utama berkaitan Felda yang menyatakan sokongan selepas mendengar penjelasan Felda.
"Memang sebelum ini ada pandangan-pandangan berbeza mengenai penyenaraian ini kerana kami masih mencari kaedah yang sesuai untuk melaksanakannya. Apabila kita dah semakin jelas tentang kaedah ini maka mereka akan kembali memberi sokongan kepada penyenaraian ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gaprof), Alumni Asrama Felda Malaysia dan Ikatan Seni dan Kebudayaan Anak Felda (Iskaf) yang menyatakan sokongan mereka terhadap cadangan tersebut.
Ahmad berkata, sehubungan itu juga, satu perjumpaan dengan lebih 1,200 wakil utama Felda di peringkat akar umbi akan diadakan bulan depan bagi memberi penerangan berhubung cadangan tersebut. 

No comments:

Post a Comment