Monday, January 23, 2012

Semua saluran pengundi penting

KANGAR 21 Jan. - UMNO menyifatkan semua saluran pengundi perlu diberi keutamaan sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, langkah tersebut dapat memastikan semua penjelasan yang dilakukan parti itu sampai kepada semua peringkat pengundi bagi meningkatkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
"Bagi UMNO, kita memandang semua saluran penting, tidak hanya menjurus kepada saluran tiga atau empat (pengundi muda) semata-mata," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sebelum memberi taklimat dalam Majlis Empat Peringkat (MEP) BN, di sini hari ini.
Ahmad berkata, 63,000 anggota penerangan UMNO dibahagian dan cawangan telah mula digerakkan sebagai persediaan PRU-13.
Menurut beliau, anggota-anggota tersebut terdiri daripada Ketua Penerangan UMNO di bahagian-bahagian serta sayap terdiri daripada pemuda, wanita dan puteri bahagian dengan sokongan cawangan.
Mengenai MEP BN, Ahmad berkata, Perlis merupakan negeri ke-12 yang dikunjungi beliau untuk memberikan taklimat mengenai isu semasa dan langkah-langkah menghadapi PRU-13.
"Cuma tinggal Sabah dan Sarawak merupakan negeri terakhir bagi program MEP BN," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment