Friday, January 6, 2012

Susilo ampun 6 nelayan Malaysia

PUTRAJAYA 5 Jan. - Enam nelayan dari Malaysia yang dipenjara di Indonesia sejak Mac lalu kerana didakwa menceroboh perairan negara itu telah dibebaskan selepas mendapat pengampunan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 24 Disember lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, enam nelayan Malaysia dan seorang lagi warganegara Indonesia dibebaskan hasil usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membangkitkan isu tersebut sebanyak dua kali kepada Susilo.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, hasil usaha Najib dan Wisma Putra, kesemua nelayan akan dibawa pulang dan dijadual tiba di Melaka esok.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan juga Wisma Putra kerana menggunakan pelbagai saluran untuk membebaskan tujuh orang penduduk Pontian ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mereka yang ditahan ialah Redzuan Aris, 36; Ibrahim Mohd Kassim, 29; Mohamad Zamri Hambali, 27; Zainodin Adam, 54; Rosli Abdul Rashid, 35; Jamil Md. Top, 54; serta rakyat Indonesia yang dikenali sebagai Subani Samsuddin, 41.
Ahmad sebelum ini telah mendapatkan khidmat peguam Indonesia untuk membela tujuh nelayan ini, tetapi malangnya usaha itu tidak berjaya.
Dalam pada itu, isteri kepada Redzuan, Nor Aisyah Jamalri, 37, berkata, dia seakan-akan tidak percaya apabila dimaklumkan kelmarin bahawa suaminya akhirnya akan pulang ke pangkuannya.
"Saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi kerana takut dihampakan. Saya cuma percaya bahawa semua ini adalah benar selepas menerima panggilan suami yang memaklumkan bahawa dia akan pulang," katanya.
Nor Aisyah turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Ahmad.

1 comment:

  1. YB Datuk, saya ingin memohon bantuan untuk membolehkan saya berhubung dengan Ibrahim Mohd Kassim kerana dia merupakan kawan sekolah rendah saya di Gelang Patah dahulu dari 1990 hingga 1995. Saya boleh dihubungi di alamat email vcjb04@gmail.com
    Anuar Bin Ibrahim

    ReplyDelete