Saturday, January 28, 2012

Tindakan ke atas ahli sabotaj parti



AHLI-AHLI Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat malam tadi bagi membincangkan hal-ehwal parti. Najib Tun Razak mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR 27 Jan. – Jawatankuasa Disiplin UMNO akan mengambil tindakan disiplin lebih awal ke atas mana-mana pemimpin dan ahli yang cuba mensabotaj parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 berlangsung.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah proaktif itu bertujuan membendung anasir tidak sihat yang sering kali menjadi duri dalam daging kepada parti sebelum ini.
Katanya, jawatankuasa itu akan diketuai Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi pada masa sama beliau menegaskan mekanisme tindakan disiplin itu berdasarkan proses perbicaraan yang adil.
“Ini kali pertama langkah itu dilaksanakan. Kita tidak mahu berlaku sesuatu selepas pilihan raya baru kita bertindak ambil tindakan sedangkan pada masa itu parti sudah menerima kesan (sabotaj).
“Dalam parti yang besar seperti UMNO memang ada tindakan yang bertentangan dengan etika dan kepentingan parti. Sebab itu kita perlu bertindak lebih awal,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini malam ini.
Ditanya sama ada jawatankuasa itu sudah menerima aduan berhubung tindakan mensabotaj parti, Najib berkata, sehingga kini belum ada laporan mengenainya diterima.
Mengenai tindakan terhadap Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang dilihat banyak mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan kepentingan parti, katanya, ia akan dirujuk ke jawatankuasa berkenaan.
“Kalau ada apa-apa pun, ini mekanisme yang ada pada kita. Sesiapa yang ini (langgar etika parti), Jawatankuasa Disiplin punyai kuasa untuk bertindak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia yang kini mendapat sambutan menggalakkan perlu mempunyai tempoh masa yang secukupnya bagi memastikan semua rakyat yang layak menerima bantuan tersebut tidak akan tercicir.
“Ia perlu kepada proses penentuan supaya yang layak dapat faedah dan tidak tertinggal serta mesti ada peluang untuk merayu supaya ia dapat diagih secara menyeluruh,” katanya.

No comments:

Post a Comment