Wednesday, January 11, 2012

UMNO dinamik untuk terus perintah negara

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Kemampuan UMNO menjadi sebuah parti dinamik serta berterusan melaksanakan agenda transformasi merupakan tunjang kekuatan parti itu memerintah negara bersama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pelbagai pembaharuan telah dibawa untuk memastikan kelangsungan UMNO menerajui negara termasuk konsep keterbukaan yang banyak membantu meremajakan parti agar seiring dengan generasi masa kini.
"UMNO berubah mengikut arus semasa dan kita sentiasa berubah supaya sentiasa remaja. Menerusi pelbagai transformasi yang dilakukan, UMNO berjaya dilihat relevan kepada masyarakat yang berusia 40-an hingga 20-an," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan delegasi Parti Golkar Provinsi Bali di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Rombongan seramai 25 orang daripada parti terbesar di Indonesia itu diketuai Ketuanya, Ketut Sudikerta.
Sementara itu, Ketut berkata, kunjungan hari ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara Indonesia dengan Malaysia.
Selain itu katanya, ia bertujuan mempelajari kejayaan UMNO serta BN yang berjaya menerajui Malaysia sehingga kini sejak merdeka tahun 1957.
"Saya dengar dan melihat sendiri UMNO memajukan Malaysia dan kami berharap mendapat strategi dan rangka baru untuk dipakai pada parti kami di Bali.
"Kebijaksanaan UMNO dalam mengelolakan parti adalah begitu berjaya dan kami juga kagum dengan semangat kerjasama sehingga mampu wujud kebebasan dalam parti," katanya.

No comments:

Post a Comment