Wednesday, January 25, 2012

Zakat Miyazu untuk saudara Muslim Perkim




AHMAD Maslan (tiga dari kiri) mengagihkan wang zakat kepada saudara Muslim di UPM, Serdang, Selangor, baru-baru ini.


ISLAM tidak menghalang umatnya mencari kekayaan. Malah, umat Islam digalakkan berusaha mencari rezeki untuk kesenangan di dunia. Cuma, Islam menetapkan agar mereka yang berkemampuan itu menunaikan tanggungjawab berzakat yang merupakan rukun Islam keempat.
Menyedari hakikat itu, Miyazu Malaysia Sdn. Bhd. (Miyazu) iaitu anak syarikat Proton Holdings telah menyerahkan wang zakat RM20,000 untuk Saudara Muslim di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).
Wang tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Miyazu, Amrizal Abdul Majid kepada Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, baru-baru ini.
Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Kumpulan Rakan Siswa JASA Malaysia (Karisma) dan Perkim itu diadakan di Dewan Seri Harmoni, Kolej Kelima, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Program itu dihadiri oleh 400 orang terdiri daripada saudara Muslim, fakir miskin, orang kelainan upaya (OKU) dan mahasiswa Karisma Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), UPM, Universiti Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat dan Negeri Sembilan.
Menurut Amrizal, semua pihak perlu berusaha mengukuhkan kepentingan ekonomi negara bagi menjayakan transformasi nasional untuk mewujudkan Malaysia yang sejahtera dan berpendapatan tinggi.
Katanya, adalah mustahil untuk melihat kemiskinan sifar. Namun selagi mana umat Islam berusaha sudah pasti Allah akan melimpahi nikmat kepada hamba-NYa.
"Apabila ekonomi umat Islam semakin kukuh maka akan bertambahlah dana untuk bantuan kepada mereka yang memerlukannya.
"Setidak-tidaknya ia boleh dikembangkan untuk melahirkan lebih ramai golongan kelas sederhana dan kelas atasan," katanya semasa berucap pada majlis tersebut.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad dalam ucapannya menggalakkan syarikat korporat meneruskan bantuan kepada saudara Muslim dan mahasiswa melalui salah satu dari saluran asnaf zakat bagi penimba ilmu.
Katanya, program itu sekurang-kurangnya membantu pelajar yang kesempitan wang kerana rutin pelajar adalah mencari ilmu dan menjadi individu cemerlang.
"Saya berharap para pelajar bersyukur dengan kemudahan diberikan dan tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak membawa faedah," katanya.
Turut diadakan adalah forum ehwal Islam bertajuk Menjana Transformasi Ummah.
Ahli-ahli panel terdiri daripada Ridhuan Tee dan Sabri Abdul Rani serta dipengerusikan Haslin Bahrin.
Ahli panel mengajak umat Islam agar mentransformasikan diri dengan berhijrah kepada sesuatu yang lebih baik dan cemerlang dengan menanamkan azam yang kental demi perubahan diri ke arah yang lebih sempurna.
Ia sebagai mana suruhan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya. (ar-Ra'd: 11)
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan; Setiausaha Agung Karisma, Shafidah Saad dan Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad.

1 comment:

  1. Great to see such a famous people to participate on such activities. I am feeling proud himself being a muslim. zakat calculator

    ReplyDelete