Thursday, February 9, 2012

1,418 terima BR1M Fasa 2 di Pontian



JOHOR

PONTIAN 8 Feb. - Seramai 1,418 orang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Fasa 2 bagi kawasan Parlimen Pontian di Dewan Orang Ramai Benut dan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini baru-baru ini.
Bantuan yang diberikan kerajaan untuk meringankan beban keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, peningkatan jumlah penerima pada BR1M Fasa 2 menunjukkan sambutan baik rakyat untuk memohon bantuan sebanyak RM500 itu.
Menurutnya, bagi yang belum menerima bantuan tersebut, peluang masih lagi terbuka hingga 10 Februari ini dengan segera berurusan dengan ketua kampung, penghulu atau Pejabat Daerah.
"Terima kasih kepada Pejabat Daerah Pontian kerana dapat memastikan proses pengagihan bantuan berjalan dengan lancar serta institusi kewangan yang memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.
Ahmad berkata, bantuan itu merupakan pendekatan yang hanya dapat dilakukan oleh sebuah kerajaan yang kukuh serta mempunyai sumber kewangan mencukupi.
Justeru, beliau meminta orang ramai bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana terus membela nasib rakyatnya berbanding pihak pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi tidak mampu melaksanakannya.

No comments:

Post a Comment