Thursday, February 2, 2012

Ahmad Maslan Cadang Pendaftaran Pengundi Dibuat Secara Bersepadu

PONTIAN, 2 Feb – Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan mencadangkan agar pendaftaran pengundi dibuat secara bersepadu bagi membolehkan 3.7 juta individu yang layak mengundi dapat berdaftar bagi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya tugas mendaftar pengundi itu perlu dilakukan bersama jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan kumpulan belia supaya golongan yang belum berdaftar tidak akan ketinggalan untuk menunaikan hak mereka.
“Mendaftar pengundi bukan hanya tanggungjawab parti politik sahaja tetapi perlu secara bersepadu dengan pelbagai pihak. Misalnya pendaftaran boleh dibuat melalui institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta melalui kilang mahupun syarikat swasta,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2012 di Taman Negara Pulau Kukup di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam bahawa orang Melayu dikesan paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi daripada keseluruhan 3.7 juta orang yang layak berbuat demikian.
Ahmad berkata Umno sudah lama menyediakan kaunter pendaftaran pengundi menerusi program Juara Rakyat di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mendaftar dan kemudahan seumpama itu semakin ditingkatkan bagi menarik lebih ramai orang Melayu dan golongan muda untuk mendaftar.
“Mereka yang berumur 21 tahun pula diharap menjadikan pendaftaran sebagai pengundi sebagai hadiah hari jadi. Kadang-kadang kita tidak terfikir ianya boleh dianggap sebagai hadiah. Gunalah segala kaedah yang membolehkan kita mendaftar sebagai pemilih,” katanya.
Ahmad menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong usaha menjaga keselamatan Israel sebagai satu lagi kesilapan ketua pembangkang itu.
“Kesilapan sebegitu menyebabkan negara kita menuju satu pandangan serong dari negara ini. Tidak perlu dijaga Israel kerana Israel jaga diri mereka dengan hebat dengan senjata nuklear dan peralatan canggih,” katanya.
Mengenai sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Anggota Parlimen Pontian, meminta lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan supaya menghulurkan sumbangan bagi memulihara pokok bakau.
Beliau berkata sejumlah RM300,000 diperlukan oleh Taman Negara Pulau Kukup bagi menyelamatkan sebatang pokok jenis Bakau Minyak terbesar di negara ini yang kini diancam hakisan.

No comments:

Post a Comment