Datuk Ahmad Maslan
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Johor yakin mempertahankan keme-nangan­ mereka di negeri itu walaupun Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang menyu­arakan hasrat mahu kembali bertanding ke negeri kelahirannya itu pada pilihan raya umum (PRU13) ini.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, terpulang kepada Salahuddin yang lahir di Parlimen Tanjung Piai untuk bertanding di kawasan itu atau di mana sahaja di Johor kerana BN Johor sudah siap sedia dengan jentera pilihan raya.
 
Menurutnya, jika beliau memilih Tanjung Piai, maka beliau akan berdepan dengan wakil MCA yang menang menentang calon DAP pada pilihan raya umum lalu.
 
“Tetapi jika beliau (Salahuddin) ingin bertanding di Pontian pun boleh, dulu lawan saya calon dari PKR, tapi saya yakin calon Umno jika bukan saya pun masih boleh menang di Parlimen Pontian,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
 
Katanya, sejak pilihan raya umum lalu, Salahuddin dakwanya tidak pernah datang melawat kawasan parlimen di dalam daerah Pontian.
 
“Setakat hampir empat tahun jadi ahli Parlimen, saya telah balik kawasan hampir setiap minggu dengan ribuan program, saya yakin calon BN boleh kekal di kawasan ini,” katanya.
 
Parlimen Tanjung Piai diwakili oleh wakil MCA, Datuk Wee Jeck Seng apabila beliau berjaya mengalahkan calon Melayu dari DAP, Ahmad Ton dengan majoriti 12,371 undi pada PRU 2008.