Friday, February 3, 2012

Daftar pemilih perlu dibuat lima peringkat

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Pendaftaran pemilih terutama di kalangan orang Melayu perlu dilaksanakan melalui lima peringkat bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengundi pada pilihan raya.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, lima peringkat itu adalah melalui parti iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN), agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan di kalangan belia.
“Agensi-agensi kerajaan perlu menggerakkan kempen pendaftaran pemilih bagi mendaftar setiap kakitangan kerajaan yang masih belum berbuat demikian.
“Begitu juga di peringkat swasta terutama dalam syarikat milik kerajaan seperti Felda. Jadi pihak ini perlu mengambil inisiatif melaksanakan kempen pendaftaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof kelmarin bahawa orang Melayu dikesan paling ramai tidak mendaftar sebagai pemilih daripada keseluruhan jumlah 3.7 juta orang yang layak berbuat demikian.
Mengenai tindakan oleh UMNO, Ahmad berkata, parti itu sentiasa melakukan usaha yang bersungguh-sungguh bagi memastikan lebih ramai orang Melayu yang layak mengundi mendaftar sebagai pemilih.
“Tahun lalu sahaja kita begitu aktif melaksanakan kempen bagi mendaftar pemilih. Kami akan teruskan walaupun mereka yang baru didaftarkan nanti masih belum boleh mengundi pada pilihan raya umum terdekat ini,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Biro Pemilih dan Keahlian Pemuda UMNO, Hisamuddin Yahya berkata, pergerakan itu telah berjaya mendaftarkan 100,000 pemilih terutama ahli Pemuda UMNO pada tahun lalu melalui pelbagai program dan kempen yang dianjurkan.

No comments:

Post a Comment