Tuesday, February 21, 2012

Dakwaan Taib liabiliti kepada BN tidak bersandarkan fakta

KUCHING 18 Feb. - Dakwaan bahawa Tan Sri Abdul Taib Mahmud merupakan liabiliti kepada Barisan Nasional (BN) hanyalah satu persepsi dan ia tidak bersandarkan fakta.

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Ketua Menteri itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajuinya tetap berjaya menyapu bersih kesemua 35 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri tahun lalu.
Malah, katanya, rakyat juga memberikan mandat kepada Abdul Taib untuk terus menerajui negeri ini dengan kemenangan majoriti dua per tiga sekali gus menolak calon Ketua Menteri pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Baru Bian.
“Walau apa sahaja orang sebut mengenai Ketua Menteri (Abdul Taib), faktanya semua kerusi PBB yang ditandingi pada pilihan raya negeri lalu tiada satu pun yang kalah.
“Ia jauh berbeza dengan PKR yang kalah amat teruk dan memalukan hanya tiga kerusi daripada 49 yang ditandingi manakala PBB menang 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab satu soalan pada sesi Dialog dan Penerangan Isu Semasa Bersama Media Massa Sarawak yang turut dihadiri Pengarah Penerangan Negeri, Resat Salleh, di sini malam tadi.
Mengenai pelbagai tuduhan pembangkang dan musuh politik kepada Abdul Taib dalam isu salahguna kuasa dan kekayaan, Ahmad berkata, perkara itu mesti dibuktikan dengan fakta yang sah.
“Ketua Menteri ini menghadapi seribu satu tuduhan tetapi tiada satu pun pendakwaan dilakukan kepadanya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau optimis bahawa undi masyarakat Cina masih bersama BN pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, sebagai kumpulan masyarakat yang rasional dan cekap kira-kira untung dan rugi, orang Cina pasti membuat keputusan terbaik pada pilihan raya umum nanti kerana ia berkaitan masa depan mereka.
“Mereka tahu untung nasib mereka dan parti mana yang boleh memerintah sambil mengekalkan kemakmuran ekonomi,” katanya.

No comments:

Post a Comment