Tuesday, February 14, 2012

Felda Aset jaga hak peneroka

Syarikat pelaburan kawal 37 peratus saham milik KPF dalam FGVH di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Felda Aset Holdings Company (Felda Aset), sebuah syarikat pegangan pelaburan bagi mengawal dan menguruskan kepentingan 37 peratus saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) dalam Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 10 Mei depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Ahmad Maslan, berkata Felda Aset akan memiliki Lembaga Pengarah yang terdiri daripada wakil JPM, Kementerian Kewangan, KPF dan FGVH untuk menjamin masa depan ekuiti pegangan koperasi yang mewakili 112,635 peneroka itu, selamat dan terpelihara.
“Penubuhan Felda Aset bertujuan mengelakkan KPF daripada bertindak sewenang-wenangnya menjual kepentingan dalam FGVH kepada pihak yang tidak diingini pada masa depan,” katanya selepas perjumpaan dan sesi penerangan komprehensif dengan 1,300 pemimpin dan wakil FELDA dari 317 tanah rancangan di sini, semalam.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, Felda Aset hanya memiliki kuasa membuat undian saham, manakala KPF kekal memegang kuasa perniagaan dalam FGVH.

Beliau juga menjelaskan KPF yang menjadi pusat simpanan dan pelaburan peneroka, dilantik sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam FGVH sebanyak 37 peratus bertujuan memastikan hak peneroka serta generasi seterusnya terjamin dan terbela.

“Selain KPF sebagai pemegang saham tunggal terbesar, peneroka dan pelabur institusi seperti Permodalan Nasional Bhd, KWSP, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) serta Tabung Haji mempunyai kepentingan dalam FGVH. 
“Kumpulan lain yang akan diberikan hak keistimewaan memegang kepentingan saham dalam FGVH, termasuk kakitangan FELDA, kerajaan negeri, rakyat Malaysia terpilih dan pelabur asing,” katanya.

Ahmad berkata, apabila disenarai kelak, permodalan pasaran FGVH yang kini hanya kira-kira RM3 bilion, melonjak tujuh kali ganda kepada RM21 bilion dan muncul sebagai antara syarikat perladangan senaraian awam terbesar di dunia.

“Tarikh penyenaraian FGVH ditetapkan pada 10 Mei ini, manakala proses dokumentasi yang diperlukan bagi penyenaraiannya, termasuk pembahagian saham dan nilai tawaran awam permulaan (IPO) sudah 90 peratus lengkap,” katanya.

Mengenai durian runtuh yang akan diberikan kepada peneroka sempena penyenaraian FGVH, Ahmad berkata, ia akan dibuat dua kali, iaitu sebelum dan selepas FGVH disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Semuanya (jenis pemberian dan nilai durian runtuh) sudah ada... hanya tunggu Perdana Menteri mengumumkannya mungkin bulan ini,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka FELDA (ANAK), Mazlan Aliman mendakwa FELDA Holdings Berhad akan mengalami defisit RM1.5 bilion setahun jika rancangan penyenaraian diteruskan.

Mazlan dilaporkan berkata, FELDA pada tahun lalu secara purata memperoleh pendapatan RM2.4 bilion setahun dengan perbelanjaan RM2 bilion menyebabkannya memperoleh lebihan pendapatan dan keuntungan RM400 juta.

FGVH adalah cabang perniagaan FELDA yang terbabit dalam perniagaan pertanian dengan penumpuan dalam sektor perladangan sawit dan getah, selain menanam serta memproses tebu sebagai gula. Syarikat yang ditubuhkan pada 2009 itu turut menjalankan perniagaan global seperti minyak dan lemak, oleokimia, logistik dan perkhidmatan di sebanyak 13 negara, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan dan Asia Barat menerusi lebih 80 syarikat aktif.

No comments:

Post a Comment