Friday, February 24, 2012

'Langkah menuju durian runtuh...'

ANAK tangga pertama penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) sekaligus "durian runtuh" yang amat dinantikan peneroka bakal dilalui, Rabu ini.

Sebelum warga Felda dapat menikmati ganjaran 'durian runtuh' paling istimewa ini - sekali imbas - 1,200 perwakilan ke mesyuarat tahunan khas (EGM) Koperasi Permodalan Felda, Khamis ini harus meluluskan penjualan 51 peratus ekuiti koperasi dalam FELDA Holdings Berhad (FHB) kepada FGVH.
Saya sebutkan "sekali imbas" kerana bagi memahami proses ini, hakikat sebenar harus dikupas terlebih dahulu.
Asas utama ialah faktor hakmilik. Koperasi Felda yang menjadi koperasi terbesar dalam negara kita, dengan perolehan RM15 bilion dan dividen 15 peratus setahun kepada ahli yang 80 peratus daripadanya adalah warga Felda, tidak menguasai syarikat yang akan disenaraikan - FGVH.
Ini berbeza dengan kedudukan Koperasi Felda di dalam Felda Holdings di mana ia menentukan pelantikan pengurusan dan lembaga pengarah anak syarikat Felda Holdings, ganjaran, serta pemberian kontrak.
Benar, pegangan 51 peratus Koperasi Felda dalam Felda Holdings akan diganti dengan ekuiti sama dalam FGVH. Namun, seperti penstrukturan korporat lain selepas proses Terbitan Saham Awal (IPO), saham Koperasi Felda dalam FGVH dijangka menguncup kepada 37 peratus.
IPO bermaksud adanya peratusan yang diapungkan serta tidak dimiliki pelabur yang menguasai syarikat.
Persoalan hakmilik syarikat gergasi seperti Felda Holdings, apatah lagi FGVH yang jauh lebih berpotensi dan milikan aset lebih besar, ketara ia isu yang emotif.
Bagi Kerajaan pula, pertimbangan paling utama pastinya kepentingan peneroka Felda - bagi memastikan warga Felda mencapai tahap lebih tinggi dalam perjalanan Felda yang bermula di Lurah Bilut, 54 tahun lalu.
Jika dilihat pada struktur syarikat FGVH, ia gergasi global yang mempunyai aset serta keupayaan luar biasa dalam membawa perubahan sekali gus membuat keputusan perniagaan.
Selenggara
Penanaman semula contohnya, bakal di selenggarakan dengan lebih meluas dan pantas, sekaligus berupaya menambah dana dan aset syarikat.
Tidak seperti Felda Holdings, FGVH dapat meraih hak komersial tanah perladangan milik Kerajaan seluas 350,000 hektar selepas termeterainya perjanjian pajak dengan Kerajaan. Juga entiti yang bakal disenaraikan mempunyai hasil minyak sawit mentah (CPO) berjumlah 3.2 juta metrik tan setahun.
FGVH turut menguasai aset dan perniagaan lain, termasuk pegangan terbesar dalam syarikat gula MSM yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Setakat ini, FGVH memiliki 49 peratus ekuiti di dalam Felda Holdings yang terbabit dalam pelbagai aktiviti antaranya pemprosesan minyak sawit, aktiviti hiliran dan logistik minyak sawit serta getah, koko, IT serta perkhidmatan keselamatan.
Entiti yang akan disenaraikan kelak, yakni FGVH menawarkan untuk membeli 51 peratus pegangan dalam Felda Holdings daripada Koperasi Felda. Inilah keputusan yang akan harus dilakukan oleh perwakilan ke EGM Khamis ini.
Jawapan "ya" membolehkan penstrukturan semula serta kemungkinan pelupusan aset tidak-kekal tegar Felda Holdings.
Apa pula nasib peneroka sekiranya jawapan yang diberi ialah "tidak.'?
Apakah Kerajaan akan meneruskan rancangan penyenaraian FGVH sekiranya perwakilan ke EGM Koperasi Felda menolak penjualan saham dalam Felda Holdings kepada FGVH?
Tidak menghairankan - berdasarkan fakta yang ada - Kerajaan tetap dengan keputusannya menyenaraikan FGVH walaupun tanpa penyertaan Koperasi Felda.
Kekurangan 51 peratus ekuiti Felda Holdings sememangnya bermakna penguasaan saham FGVH lebih rendah, namun ia masih mempunyai kelebihan aset seperti tanah perladangan 350,000 hektar serta hasil minyak sawit mentah. Ini tetap menjadikan FGVH antara 10 syarikat gergasi di Bursa Malaysia.
Berdasarkan komitmen Kerajaan dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada peneroka, perolehan penyenaraian FGVH tetap akan disalurkan kembali kepada peneroka - sama ada Koperasi Felda menyertai proses ini ataupun tidak. Perolehan RM3 ke RM4 bilion ini boleh diuruskan menerusi badan Yayasan ataupun amanah saham.
Difahamkan, walaupun FGVH tidak menguasai Felda Holdings, entiti yang bakal disenaraikan ini masih berkebolehan menguasai perniagaan dan syarikat Felda Holdings melalui urusan korporat serta pemberian kontrak tidak langsung.
Peneroka tidak akan rugi sekalipun Koperasi Felda enggan bersama proses penyenaraian. Lain pula halnya dengan keupayaan Koperasi Felda mengekalkan dividen dan bonus tahunan pada tahap 15 peratus kepada ahli, memandangkan Felda Holdings adalah penyumbang terbesar pemberian dividen Koperasi Felda - sekitar 50 peratus dengan perwakilan 20 peratus Felda Holdings daripada pelaburan Koperasi Felda.
Aset Felda Holdings bakal disalurkan ke FGVH, menyebabkan Felda Holdings tidak lagi mampu mengekalkan kadar pemberian dividen kepada Koperasi.
Ini akan memaksa Koperasi bergantung kepada aset lain sekali gus bertindak meningkatkan pelaburan.
Tiada kepastian bahawa Koperasi Felda berkebolehan mengekalkan prestasi kewangan sekarang pada era pasca-penyenaraian, sekiranya perwakilan memilih tidak bersama FGVH.
Hakikatnya, jika dibandingkan pegangan 37 peratus yang akan berkembang dengan pemilikan sentimental yang menguncup, pilihan yang ada pada perwakilan tentu sekali sangat jelas
Janganlah tersilap langkah, kerana bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, tersilap keputusan, buruk kesannya.
Fikirkanlah kegemilangan Felda dan masa depan warga dan generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment