Tuesday, February 14, 2012

Permodalan pasaran FGVH diunjur cecah RM21b

KUALA LUMPUR 13 Feb. — Pemodalan pasaran Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGVH) dijangka mencecah RM21 bilion apabila penyenaraiannya di Papan Utama Bursa Malaysia, yang dijadualkan pada 10 Mei, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Permodalan pasaran semasa cabang komersial Felda itu pada RM3 bilion.
"Itu akan menjadikan Felda Global Ventures sebagai satu daripada syarikat saham mewah dalam industri perladangan global,” kata beliau semasa taklimat kepada kira-kira 1,300 kakitangan Felda mengenai proses penyenaraian berkenaan, di sini hari ini.
Beliau berkata, pelabur Felda Global Ventures akan mendapat dividen pra dan pasca penyenaraian.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan maklumat lanjut, dengan berkata ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Keseluruhan proses rundingan sebelum tawaran awam permulaan (IPO) 90 peratus siap. Oleh itu, sebaik sahaja selesai, Perdana Menteri akan membuat pengumuman.”
Ahmad Maslan juga berkata, Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan menjadi pemegang saham tunggal terbesar Felda Global Ventures dengan 37 peratus kepentingan.
Antara pemegang saham lain adalah peneroka, kerajaan negeri dan pelabur Bumiputera, pelabur institusi dan pelabur asing.
"Kami telah memuktamadkan para pemegang saham. Syarikat-syarikat seperti Permodalan Nasional Bhd., Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Amanah Saham Nasional Bhd. akan mempunyai kepentingan mereka dalam syarikat selepas penyenaraian,” kata beliau.
Ahmad Maslan berkata, syarikat pegangan pelaburan yang baru, Felda Asset Holdings Company telah ditubuhkan untuk mengawal dan mengurus kepentingan 37 peratus KPF dalam Felda Global Ventures.
Ini untuk mengelakkan KPF daripada menjual kepentingan Felda Global Ventures kepada pihak yang tidak diingini pada masa akan datang, katanya.

No comments:

Post a Comment