Monday, February 27, 2012

Slogan Sabah for Sabahan perkecilkan rakyat Sabah

TAWAU 26 Feb. — Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpedaya dengan propaganda dan slogan pembangkang “Sabah for Sabahan” yang jelas memperkecilkan kemampuan sebenar rakyat Sabah.

Beliau berkata, slogan itu menunjukkan seolah-olah pemimpin Sabah hanya layak jadi pemimpin di peringkat negeri sedangkan kemampuan rakyat Sabah adalah lebih jauh daripada itu.
Bagi BN slogan yang sesuai untuk rakyat Sabah ialah ‘Rakyat Sabah Memimpin Malaysia’ selaras dengan kejayaan rakyat negeri ini memegang jawatan penting dalam pelbagai kementerian dan agensi selain sebagai menteri dan timbalan menteri persekutuan, katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat isu-isu semasa kepada UMNO Bahagian Kalabakan di sini hari ini.
"Ada yang menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin. Ada yang menjadi Peguam Negara, iaitu Tan Sri Abdul Ghani Patail...dan pelbagai lagi jawatan di seluruh kementerian.
"Tentunya, seperti kita sedia maklum, (ada) menteri-menteri dan timbalan menteri persekutuan daripada Sabah. Kalau saya tidak silap semuanya sembilan menteri dan timbalan menteri,” katanya.
Menurut beliau, BN memberi pentas yang cukup luas kepada pemimpin dari Sabah untuk memberi khidmat dan bakti kepada rakyat di negara ini sama ada dalam Umno, BN ataupun dalam kerajaan melalui kementerian dan pelbagai agensi.
"Semangat ini perlu ditanamkan dan perlu memberi motivasi kepada rakyat Sabah bahawa orang-orang Sabah mampu untuk berbuat demikian. Kalau ada satu tajuk yang saya boleh berikan (maka tajuk itu) ialah “Rakyat Sabah Pemimpin Malaysia”, katanya.

No comments:

Post a Comment