Saturday, February 4, 2012

Usaha pulihara pokok bakau minyak




SEKUMPULAN pelajar dan guru dari Sekolah Agama Repah Tampin teruja kerana diberi peluang menanam anak pokok bakau sempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2012 di Taman Negara Pulau Kukup, Pontian, kelmarin.


PONTIAN 3 Feb. - Perbadanan Taman Negara Johor memerlukan kira-kira RM300,000 bagi menjalankan proses memulihara pokok bakau minyak yang dipercayai terbesar di negara ini daripada ancaman hakisan ombak.
Pokok bakau yang berusia melebihi 100 tahun dan hidup di Taman Negara Pulau Kukup di sini kini diancam hakisan dengan kedudukannya hanya 10 meter dari pesisir pantai.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, peruntukan yang diperlukan itu adalah bagi membina platform pejalan kaki untuk memudahkan orang ramai melihat pokok berkenaan dan batu-batu penghalang hakisan.
"Dalam sedar atau tidak, pokok bakau tersebut mampu dijadikan tarikan pelancongan. Pokok bakau minyak itu mempunyai ukur lilit 58 sentimeter berbanding yang terdapat di Perak yang berukuran 55 sentimeter," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2012 di sini semalam.
Pada majlis yang dihadiri oleh Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Suhairi Hashim itu, turut dilancarkan dua buku hasil karya Taman Negara Johor dan Tabung Konservasi PTNJ.
Malaysia mempunyai enam kawasan Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Tapak Ramsar) iaitu Tasik Bera di Pahang, Tanah Lembap Kuching (Sarawak), Tanah Lembap Lower Kinabatangan-Segama (Sabah) dan tiga di Johor iaitu Tanjung Piai, Sungai Pulai dan Pulau Kukup.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut meminta lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan atau swasta menghulurkan sumbangan bagi memulihara pokok bakau.
"Mungkin ramai tidak mengetahui kepentingan tanah lembap kepada ekosistem sesuatu kawasan. Ia banyak membantu dalam menstabilkan suhu dan cuaca.
"Sehubungan itu, organisasi luar perlu merebut peluang seperti melakukan tanggungjawab sosial korporat yang unik dengan penglibatan pelajar serta alam sekitar," katanya.

No comments:

Post a Comment