Friday, March 30, 2012

42 anak syarikat Felda catat keuntungan


KUALA LUMPUR 29 Mac - Sebanyak 42 anak syarikat Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dalam dan luar negara mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM366 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, rekod itu membuktikan dakwaan pembangkang kononnya, kedudukan kewangan Felda kini berada dalam keadaan tenat adalah fitnah semata-mata dan bersifat politik.
Bagaimanapun, beliau mengakui ada anak syarikat FGVH belum mencatat keuntungan kerana baru terlibat dalam pelaburan tetapi yakin keuntungan dapat dicapai mengikut tempoh sasaran.
"Kita boleh bagi jaminan sebanyak 42 anak syarikat FGVH mencatat untung dan angka ini benar. Ia sekali gus menyumbang kepada keuntungan FGVH sebanyak RM336 juta pada tahun kewangan 2010.
"Ia peningkatan yang signifikan kerana pada tahun kewangan 2009, FGVH mencatat keuntungan sebelum cukai RM203 juta," katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad menjelaskan keputusan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia yang dijangka dapat dilaksanakan pertengahan tahun ini yang dibuat berdasarkan penilaian ekonomi dan strategi.
Katanya, pelbagai kajian berhubung penyenaraian itu sudah diambil kira antaranya faktor positif dan negatif merangkumi prestasi, peluang, prospek serta risiko perniagaan.
"Kajian merumuskan penyenaraian FGVH memberi prospek yang kukuh serta pulangan yang baik terutama kepada peneroka Felda.
"Langkah ini juga akan menggalakkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) serta bakal menjadi pemangkin pertumbuhan FGVH sebagai jaguh dalam industri pertanian," katanya.

No comments:

Post a Comment