Tuesday, March 27, 2012

74,000 lesen pengendali teksi, bas, lori diedar 1 April

KUALA LUMPUR 26 Mac - Sebanyak 74,000 lesen pengendali untuk teksi, bas dan lori sedang disiapkan dan akan diedarkan kepada pengusaha bermula 1 April ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tuntutan lesen pengendali itu boleh dibuat di pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"Pengedaran lesen itu adalah satu mekanisme bertujuan mengawal selia pengusaha pengangkutan awam dan kenderaan barangan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.
"Dengan pelaksanaan lesen pengendali ini, tempoh sah laku maksimum lesen adalah selama tujuh tahun dan pemohon boleh memilih untuk memperbaharui lesen pengendali mengikut jumlah tahun yang dikehendaki iaitu antara tiga, lima atau tujuh tahun," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Pas-Kuala Krai) yang mahu mengetahui mengapa pembaharuan permit teksi perlu dilakukan setiap tahun berbanding 10 tahun sebelum ini dan sama ada SPAD mempunyai kemampuan melayani urusan pembaharuan permit itu di pejabatnya.
Kepada soalan tambahan Mohd. Hatta mengenai bila proses pengalihan permit daripada syarikat kepada individu akan dilaksanakan, Ahmad berkata, kerajaan telah mengeluarkan lesen yang berkaitan kepada kedua-dua pihak itu untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) yang mahu mengetahui kedudukan terkini cadangan membina terowong bawah laut antara Singapura dan Johor Bharu, Ahmad berkata, pasukan kerja kedua-dua negara sedang bekerjasama menilai tender terbuka antarabangsa berhubung kajian kejuruteraan projek tersebut.
Katanya, tender itu telah dibuka pada November 2011 dan ditutup pada Februari lalu.
Menurutnya, proses penilaian itu perlu mematuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh kedua-dua negara dan projek itu turut merangkumi konsep laluan bawah laut.

No comments:

Post a Comment