Sunday, March 18, 2012

Bertindak terhadap web hina Islam


HULU LANGAT 17 Mac - UMNO mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertindak tegas dalam bentuk undang-undang terhadap laman web, media sosial dan blog yang menghina Islam.
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan serupa juga perlu dikenakan terhadap pihak yang mempromosi dan menggalakkan budaya lesbian, gay, biseksual dantransgender (LGBT) di negara ini melalui Internet.
Jelas beliau, kedua-dua perbuatan tersebut tidak boleh dibiarkan dan pihak berkaitan perlu mengambil tindakan segera dalam bentuk penguatkuasaan memandangkan perbuatan seumpama itu jelas mencemar kesucian Islam.
"Kita wajib mempertahankan Islam daripada dicemari oleh anasir anti-Islam seperti itu dan kita juga wajib mempertahankan Islam daripada anasir songsang.
"Saya minta SKMM dan Jakim mengambil perhatian serius tentang isu itu. Perkara tersebut tidak boleh dibiarkan. Cari dan siasat siapa yang bertanggungjawab," katanya kepadaMingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kewujudan laman-laman web, media sosial serta blog anti-Islam termasuk juga LGBT tempatan yang sehingga kini dikesan masih aktif beroperasi tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung kali pertama dan pelancaran laman web Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ismail Sani; Presiden PVTM, Mohd. Ali Baharom; Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani dan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri.
Ahmad berkata, antara langkah yang wajar dilakukan khususnya SKMM ialah memburu pengendali laman web bertanggungjawab dengan menggunakan undang-undang sedia ada.
"Harus diingat kebebasan masih ada had. Di Malaysia kita tidak pernah mengamalkan kebebasan mutlak sebaliknya kebebasan yang diamalkan adalah bersandarkan pada undang-undang,'' ujarnya.
Sementara itu, ketika berucap, beliau yang juga penaung PVTM meminta semua bekas anggota keselamatan memberi mandat sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
''Hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mampu memberi pembelaan sepenuhnya kepada bekas tentera dan polis,'' katanya.

No comments:

Post a Comment