Datuk Ahmad Maslan
SHAH ALAM - Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu mengambil berat dan tidak terlalu yakin dengan gambaran dibuat veteran politik Tun Daim Zainuddin bahawa Umno dan perikatannya punya kelebihan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, beliau menghormati pandangan itu dan menyifatkannya sebagai satu cabaran.

“Saya lihat pandangan beliau (Daim) yang bernas dan tajam itu perlu diberi perhatian. Saya juga ingin mengingatkan pemimpin Umno untuk tidak berasa selesa dan terlebih yakin dengan ramalan itu.

“Ambil berat dengan kelebihan yang dinyatakan itu supaya menjadi kenyataan. Bagi negeri-negeri yang diramalkan beliau, BN akan gagal, itu bukan penghalang , itu hanya ramalan... jadikan ia satu cabaran untuk membuktikan yang BN juga mampu takluk negeri tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pemimpin Umno perlu melihat pandangan itu sebagai satu aspirasi yang perlu dilaksanakan agar BN boleh terus mengekalkan dua pertiga majoriti.

Beliau turut menyifatkan ramalan bekas Menteri Kewangan itu sesuatu yang positif dan perlu di ambil perhatian oleh Umno.

Daim juga bekas Bendahari Umno.

“Saya berterima kasih atas pandangan beliau selaku veteran Umno dan orang yang banyak pengalaman dalam pentadbiran negara.

“Saya juga berharap media memberi lebih banyak ruang kepada veteran-veteran politik yang telah banyak berjasa seperti Tun Daim dalam berkongsi pandangan beliau,” katanya.

Semalam, Tun Daim dalam wawancaranya bersama sebuah akhbar arus perdana meramalkan Umno dan BN mempunyai kelebihan pada pilihan raya akan datang.

Daim berkata, pembaharuan politik yang diamalkan oleh kerajaan hari ini kelihatan lebih berkesan berbanding sebelum ini.

Beliau turut berpandangan BN mampu menguasai kembali beberapa negeri yang telah ditakluk Pakatan Rakyat, namun menghadapi kesukaran di beberapa negeri terutamanya Pulau Pinang dan Kelantan.

Sebelum Pilihan Raya Umum 2008, Daim adalah satu-satunya tokoh yang secara terbuka meramalkan BN akan kehilangan beberapa negeri dan akan mencatatkan keputusan terburuk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).