Tuesday, March 13, 2012

Elak masalah peneroka ke mahkamah


AHMAD Maslan (tengah) beramah mesra dengan peneroka Felda Maokil di Sekolah Menengah Felda Maokil 1, Labis, Johor, baru-baru ini.


LABIS 11 Mac - Peneroka Felda dinasihatkan supaya tidak membawa kes melibatkan mereka dengan agensi itu ke mahkamah selagi ia tidak melibatkan unsur jenayah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, semua masalah perlu dirujuk kepada Majlis Timbang Tara (MTT) yang ditubuhkan Felda baru-baru ini.
"Masalah atau kes-kes yang tidak melibatkan jenayah seperti Kadar Perahan Gred (KPG) buah kelapa sawit, pertikaian penanaman semula, pertikaian tanah ladang dan perkara melibatkan hutang tidak perlu dibawa ke mahkamah.
"Melalui MTT, kepentingan kedua-dua belah pihak akan dijaga dan keputusan adalah menang-menang untuk peneroka dan Felda," katanya kepada pemberita selepas majlis jalinan mesra bersama peneroka di Sekolah Menengah Felda Maokil 1 dekat sini, baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi MTT mengulas kira-kira 12 kes peneroka menyaman Felda termasuk kes 645 peneroka Felda Maokil yang turut berbuat demikian tetapi ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
Ahmad berkata, menerusi MTT yang ditubuhkan Felda itu, peneroka akan diberi peluang berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu-isu berbangkit.
Menurutnya, masalah itu akan dirujuk di bawah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) dan Felda telah memenangi sembilan daripada 10 kes saman agensi tersebut.
Beliau tidak menolak dakwaan bahawa kebanyakan peneroka tersebut dihasut oleh pihak pembangkang untuk menyaman Felda termasuk beberapa tuntutan yang tidak munasabah.
Mengenai hasrat 645 peneroka Felda Maokil yang mahu membawa kes saman Felda ke Mahkamah Persekutuan, beliau memberi peluang kepada mereka untuk merujuk kepada MTT.
Masalah yang dihadapi 722 peneroka di Felda Maokil adalah benih pokok dan buah kelapa sawitnya yang besar tetapi kuantiti KPG minyaknya sedikit.
"Sebab utama perahan minyak sawit tidak banyak hasilnya kerana tempurung buah sawit itu terlalu tebal dan ini yang menyebabkan minyak tidak banyak," katanya.

No comments:

Post a Comment