AHMAD-MASLAN
KUALA LUMPUR - Kerajaan sekali lagi memberi jaminan manfaat yang akan dinikmati oleh golongan peneroka Felda tidak akan terjejas selepas penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia tetapi mendakwa 'gangguan' Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) telah menjejaskan urusan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menegaskan langkah itu juga tidak akan merugikan golongan peneroka kerana aset mereka termasuk tanah, rumah dan saham, tidak akan disentuh sama sekali.

"Macam mana peneroka boleh rugi kerana penyenaraian ini langsung tidak melibatkan tanah mereka. Tanah 10 ekar sebutirpun tidak disentuh, tapak rumah mereka seincipun tidak sentuh, malah saham mereka satu sen pun kita tidak sentuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Salahuddin bertanya sama ada kerajaan berani memberi jaminan bahawa penyenaraian itu tidak akan merugikan peneroka.

Terdahulu menjawab soalan asal Salahuddin mengenai penyenaraian FGVH, Ahmad berkata, langkah itu, selain meningkatkan manfaat ekonomi peneroka melalui perkongsian keuntungan, ianya juga akan menguntungkan rakyat Malaysia melalui penyertaan pelbagai kumpulan pelabur ke dalam negara sebelum dan selepas penyenaraian.

"Penyenaraian FGVH di dalam Bursa Malaysia akan mewujudkan salah sebuah syarikat multinasional terbesar dunia yang berasaskan agro-bisnes bersepadu dan dinamik. Ini juga akan dapat meningkatkan prestasi dan produktiviti FGVH seiring dengan pelaku industri perladangan global lain," katanya.

Ahmad berkata kajian manfaat daripada penyenaraian itu berada pada fasa terakhir proses penyenaraian dan dibuat dengan teliti oleh Lembaga Pengarah dan Pengurusan bersama perunding strategi serta penasihat yang dilantik.

"FGVH juga sentiasa memperkukuhkan barisan pengurusan dengan mendapatkan bakat-bakat terbaik industri dan menjalin usahasama dengan rakan kongsi strategik bagi mengembangkan perniagaan hiliran ke serata dunia," katanya.

Proses penyenaraian itu juga menurutnya  mendapat maklum balas positif sebahagian besar masyarakat Felda berdasarkan beberapa sesi penerangan yang diadakan sejak beberapa bulan lepas.

Menjawab satu lagi soalan tambahan Saifuddin yang mempertikaikan pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda, Ahmad berkata, pengalaman luas beliau berhubung Felda antara faktor pemilihannya.

Beliau berkata Isa mempunyai pengalaman selama 22 tahun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang merupakan antara negeri yang mempunyai kawasan Felda yang besar di negara ini.

"Malah di kawasan beliau sendiri (Parlimen Jempol), ada 27 kawasan Felda... jadi beliau banyak tahu mengenai Felda dan peneroka dan atas dasar itu dilantik menjadi Pengerusi," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pula, Ahmad  mengakui "gangguan" daripada Anak telah menyebabkan kelewatan proses penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

"Memang "gangguan" ini menyebabkan proses penyenaraian lewat kira-kira sebulan lebih. Tetapi kita tidak akan menghentikan usaha penyenaraian ini kerana kita ada kaedah tertentu dan kita akan terus membela nasib peneroka," katanya dipetik Bernama.

Menjelaskan perkara itu pada sidang media kemudiannya, Ahmad berkata, jadual penyenaraian FGVH terpaksa ditunda kepada Jun setelah Mahkamah Tinggi Kuantan pada Februari lepas membenarkan injunksi interim bagi melarang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Bagaimanapun katanya, sekiranya injuksi itu gagal diketepikan, Felda kemungkinan besar akan membuat penyenaraian itu tanpa KPF.

"Jika ini berlaku, ia akan merugikan KPF. Bagaimanapun kita telah mempunyai satu formula bagi memastikan kepentingan peneroka dan petugas Felda akan dapat dibela," katanya.