Monday, March 19, 2012

Hanya 10 peratus syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Hanya 101 atau 10.7 peratus daripada 941 syarikat senaraian awam (PLC) yang disenarai di Bursa Malaysia sehingga 31 Disember lalu milik Bumiputera, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan. 

Daripada 101 syarikat berkenaan, hanya 75 syarikat yang mencatatkan keuntungan. Beliau berkata, jumlah itu perlu dipertingkat kerana penyenaraian di Bursa Malaysia bukan sahaja menguntungkan sesebuah syarikat, malah meletakkan kaum Bumiputera setanding dengan kaum lain di negara ini. "Kita harap lebih ramai kaum Bumiputera dapat mengetahui tentang pasaran modal, pasaran saham dan segala yang berkaitan dengan sekuriti kerana ia sebenarnya menguntungkan," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung Persatuan Remisier Bumiputera (Pribumi) ke-17 dan pelancaran buku "Icon Bumiputera PLC 2011" di sini, hari ini. Ahmad berkata, syarikat Bumiputera seharusnya memanfaatkan pelbagai peluang dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan termasuk "Skim Jejak Jaya Bumiputera", iaitu skim yang menjejak kejayaan Bumiputera untuk menambah bilangan syarikat yang boleh disenarai di Bursa Malaysia. Beliau, bagaimanapun, berkata para usahawan Bumiputera tidak seharusnya hanya bergantung kepada bantuan kerajaan, sebaliknya perlu mempunyai kesungguhan sendiri. "Untuk disenarai di Bursa Malaysia, usaha individu juga perlu kerana akhirnya nanti mereka boleh menjadi Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pegawai Operasi kepada PLC," katanya. Mengulas mengenai penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia, Ahmad mengulangi pendirian bahawa usaha tersebut tidak akan merugikan peneroka, sebaliknya menguntungkan mereka. Katanya, jika usaha menyenaraikan FGVH itu berjaya, ia mungkin menjadi tawaran awam permulaan (IPO) terbesar untuk tahun ini. "Jadi kita harapkan sokongan daripada semua pihak dan bukannya menggagalkan rancangan ini, mereka yang menentangnya sebenarnya puak yang tidak prihatin terhadap kedudukan Bumiputera," katanya.

No comments:

Post a Comment