Ahmad Maslan
SHAH ALAM – Jangan buat sebarang spekulasi, sebaliknya tunggu pengumuman yang bakal dibuat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bila tiba masanya nanti.
Demikian penjelasan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mengenai pencalonan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada pilihan raya umum akan datang.
 
Beliau berkata, semua keputusan terletak di tangan Najib sama ada dicalonkan atau tidak berdasarkan kriteria ‘winable candidate’.
 
“Saya tidak tahu siapakah mereka itu, kerana yang lebih penting adalah calon yang boleh menang dalam setiap kawasan, namun yang terbaik hanya ada seorang. Di Gua Musang atau di tempat lain juga, saya kira formulanya serupa,” katanya.
 
 Ahmad berkata, hal berkaitan nama-nama individu tertentu yang bakal bertanding pada pilihan raya umum tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
 
“Seperti penentuan tarikh pilihan raya, nama calon juga adalah hak Najib sebagai presiden parti. Sudah tentu presiden parti akan mendapat maklumat daripada pelbagai sumber untuk mendapatkan calon terbaik,” katanya.