Thursday, March 8, 2012

Jentera pilihan raya UMNO diminta pecut 'gear lima'



AHMAD Maslan (kiri) mendengar perkara yang dibincangkan Md. Isa Sabu (tengah) dengan Shahidan Kassim pada Majlis Penerangan Perdana Isu Semasa di Kubang Gajah, Arau, malam semalam.


ARAU 7 Mac - Jentera pilihan raya UMNO diminta bergerak lebih pantas sehingga menyamai kelajuan pemanduan 'gear lima' memandangkan tempoh Pilihan Raya Umum Ke-13 yang kian hampir.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, masa untuk bergerak pada kelajuan gear satu, dua dan tiga telah berlalu kerana sudah tiba masanya bergerak lebih laju bagi memantapkan jentera parti.
"Masa yang ada sekarang perlu diisi dengan kerja lebih kuat dan gigih bagi memastikan jentera UMNO sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
"Ini penting supaya BN dapat terus kekal memerintah negara ini selepas PRU-13," katanya ketika berucap pada Majlis Penerangan Perdana Isu Semasa di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang, Kubang Gajah di sini malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan timbalannya, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga mahu rakyat Perlis memastikan BN menang 100 peratus di negeri ini.
''Jangan beri peluang kepada pembangkang untuk menakluk negeri ini walau seinci pun kerana mereka hanya tahu berjanji palsu," katanya.
Katanya, rakyat negeri ini perlu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku ke atas negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang.
''Tengoklah di Kedah apabila Pas Pusat sanggup menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau semua keputusan yang dibuat kerajaan negeri Kedah yang menunjukkan mereka sengaja hendak menghina Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak," katanya.
Katanya, mana mungkin seorang Menteri Besar tidak tahu menjalankan tugasnya sehingga perlu dipantau oleh sebuah jawatankuasa khas.

No comments:

Post a Comment