Wednesday, March 14, 2012

Kerajaan jamin penyenaraian FGVH tidak sentuh harta peneroka

KUALA LUMPUR 14 Mac – Kerajaan hari ini sekali lagi memberi jaminan bahawa manfaat yang akan dinikmati oleh golongan peneroka Felda tidak akan terjejas selepas Penyenaraian Felda Global Venture Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia menjelang pertengahan tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menegaskan langkah itu juga tidak akan merugikan golongan peneroka kerana aset mereka termasuk tanah, rumah dan saham, tidak akan disentuh sama sekali.
"Macam mana peneroka boleh rugi kerana penyenaraian ini langsung tidak melibatkan tanah mereka. Tanah 10 ekar sebutir pun tidak disentuh, tapak rumah mereka seinci pun tidak sentuh, malah saham mereka satu sen pun kita tidak sentuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
"Penyenaraian FGVH di dalam Bursa Malaysia akan mewujudkan salah sebuah syarikat multinasional terbesar dunia yang berasaskan agrobisnes bersepadu dan dinamik.
“Ini juga akan dapat meningkatkan prestasi dan produktiviti FGVH seiring dengan pelaku industri perladangan global lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment